Jumaat, 27 Mac 2009

The Morning Person

Foto: Berpagi-pagi di rumah emak di Kg. Titian Bintangor, Rembau, Negeri Sembilan: Sebagai anak sulung sedang mempengerusikan mesyuarat untuk majlis perkahwinan adik perempuan bongsu Dr. Norlaili (kiri sekali berskaf) dengan Mr. Aron Husking Abdullah dari New Zealand pada Disember 2008.


The morning person
bermaksud "orang yang berpagi-pagi." Maksudnya ialah orang yang menggunakan waktu pagi untuk menghasilkan produktiviti terbaik. Allah SWT menjadikan waktu pagi paling istimewa. Diindahkan dengan terbitnya fajar Saddiq di ufuk Timur. Dihiasi pagi dengan kokokan ayam serta kicauan unggas dan burung.

Cuaca pagi cukup sejuk kerana lamanya matahari terbenam. Cuaca tenang dan tidak berdebu kerana semua makhluk yang bernyawa dan yang tidak bernyawa tidur sepanjang malam. Debu-debu pun masih tidur. Embun yang turun menyejukkan suasana. Kadang-kadang menjadi kabus yang menyegarkan. Bunga-bunga turut kuncup, tidur.

Bangun Sebelum Subuh

Sepagi mana anda mula bekerja? Ada orang yang bangun sebelum subuh. Untuk bangun sebelum subuh anda perlu tidur awal - sebelum jam 12 tengah malam. Anda cuma memerlukan 5 jam sahaja untuk tidur sehari.

Kalau anda boleh bangun sebelum subuh banyak perkara yang boleh anda lakukan:
  • Solat Tahajud dan ditutup dengan solat Witir 3 rakaat.
  • Membaca al-Quran.
  • Menulis blog.
  • Menyedut udara segar yang dipenuhi oksigen.
  • Menikmati ketenteraman alam.
Apabila masuk waktu subuh, anda boleh solat Subuh berjemaah di masjid atau surau berhampiran. Anda boleh solat sunat Tahiyatul Masjid dan solat sunat Subuh dua rakaat. Aktiviti lepas solat Subuh:
  • Mendengar kuliah subuh.
  • Mentelaah fardu ain atau menghafal al-Quran.
  • Joging.
  • Membersihkan halaman rumah.
  • Membaca akhbar pagi.
  • Sarapan pagi.
Kelebihan Bekerja Pagi

The morning person
memulakan kerja harian lebih awal kerana inilah waktu prima (prime time). Kelebihan bekerja dalam waktu prima:
  • Tenaga masih segar.
  • Lakukan pekerjaan yang susah dahulu.
  • Aktiviti harian orang lain belum begitu sibuk.
  • Minda masih belum dibebani dengan persoalan, masalah dan tugas harian.
  • Cuaca belum panas.
  • Panggilan telefon belum banyak mengganggu.
  • Tetamu belum tiba.
Kalau anda memulakan kerja jam 8 pagi, masa 2 jam hingga jam 10 pagi itu merupakan waktu prima yang paling berharga. Jika anda dapat melakukan kerja dengan cepat, laju, cekap dan tepat, anda akan berhasil menyiapkan 40% dari tugas harian anda dalam waktu itu. 40% ini adalah tugas yang sukar - mungkin memerlukan 4 jam atau lebih jika dilakukan sebelah tengahari atau sebelah petang.

Amalan Bangun Pagi Ini Universal

Pahlawan Melayu zaman dahulu diberitakan mandi air embun yang melekat di hujung daun pokok di hutan. Sekarang orang menanam pokok di perkarangan rumah membentuk sebuah taman yang menghijau, memelihara ikan di dalam kolam buatan dan membina rock garden.

Di taman-taman sekarang ini banyak ditanam pokok yang rendang yang sangat menyejukkan pada waktu pagi. Warna daunnya sangat menghijau terutama selepas hujan.

Sebenarnya bukan orang Melayu atau umat Islam sahaja yang diajar untuk menjadi the morning person. Bangsa lain pun sama. Orang India turun memetik bunga Melur dan lain-lain bunga sebelum waktu subuh. Aura bunga ini sangat baik untuk kesihatan. Orang China pula sering bermain taici menghadap matahari terbit.

Foto: Berpagi-pagi bersama Y. Bhg. al-Ustaz Zainul Abidin, Mudir Maahad el-Muhajirin, Kampung Saum, Kemboja sebelum menyembelih korban pada pagi Hari Raya Aidil Adha 1430H yang lalu.

Tidur Waktu Pagi


Malangnya ramai orang yang tidur pada waktu pagi terutama para remaja. Mereka tidak tidur malam - bukan melakukan perkara yang produktif seperti belajar atau bekerja sambilan tetapi membuang masa bersama kawan sambil berhibur. Ini satu kerugian besar dan membazir usia muda!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan