Ahad, 8 Mac 2009

JANGAN PUTUS ASA

Foto: Jangan sekali-kali berputus asa dengan kemiskinan hidup. Bergambar bersama penduduk Kampung Bomtol, Kompong Chhnang, Kemboja yang menyambut kedatangan saya dan rombongan Misi Kemanusiaan kali pertama tahun 2007. Sebelah kiri saya ialah Al-Ustaz Abdul Malik (Obdul Malick) al-Hafiz. Di tapak yang sama sekarang telah terbina sebuah masjid baru hasil sumbangan kawan-kawan di Malaysia.



Saban hari ramai orang putus asa. Kecewa. Down-to-earth. Rasa dunia ini sudah hampir kepada kiamat. Rasa hidup tak berguna lagi.


Akibatnya ada yang menangis, melolong, mengurung diri, tak makan dan tak minum, murung, tak mahu bercakap, menyendiri, memakan ubat tidur atau lain-lain ubat. Ada yang menyalahkan Tuhan. Dan yang paling ektrim sampai ada yang membunuh diri.


Apa pun sebabnya anda tidak wajar putus asa. Jangan putus asa dalam apa keadaan sekali pun kerana sebenarnya seseorang itu belum lagi gagal selagi dia masih mahu mencuba. Anda hanya akan gagal apabila anda berhenti mencuba.


Foto: Jangan sekali-kali berputus asa dalam belajar. Sekali gagal bukan segala-galanya. Bersama anakanda yang dikasihi dari kiri: Muhammad Syafiq, tahun akhir Ijazah Kejuruteraan Elektrik di University of British Columbia, Canada, Muhammad Suhail, sedang mendaftar ijazah Ph.D dalam Bio-Technology di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dan Muhammad Salman al-Farisi, baru hafal 5 juzuk di Madrasah Sheikh Mohd Salehuddin al-Amin, Hulu Langat, tahun ini ambil SPM di Sekolah al-Irsyad, Kuantan.



Kenapa anda mesti berputus asa:

  • Jangan berputus asa atas kesusahan. Kerana kesusahan itu tidak akan menghinggapi anda selamanya selagi anda berdaya untuk berubah dan bertindak.
  • Kepayahan dan kesulitan juga tidak berpanjangan atau berterusan. Ia akan berakhir.
  • Pemergian orang yang disayangi adalah lumrah alam. Jangan dikesali. Yang pergi tetap pergi. Kita yang hidup harus meneruskan kehidupan.
  • Penyakit bertandang di tubuh badan kita. Jangan dikesali kerana itu tanda Tuhan sayang dengan kita supaya kita berubat. Tuhan belum mencabut nyawa kita.


Jangan layan perasaan mahu berputus asa sebaliknya:

  • Bekerja dengan lebih gigih untuk melupakan perasaan berputus asa.
  • Fahamilah bahawa kegagalan juga perkara lumrah yang sering bertandang. Berapa ramai orang yang berjaya dalam dunia ini adalah asalnya di kalangan orang yang pernah gagal!
  • Jangan putus harapan kepada Tuhan. Tuhan tidak pernah menganiaya makhluknya. Mungkin kita yang tersilap langkah. Sang ulat mungkin tersilap langkah kerana hidup di atas batu. Itu pun Tuahn beri rezeki. Inikan pula kita yang hidup di bumi yang bertuah dan makmur! Kenapa mesti putus asa?
  • Carilah tenaga dalaman yang kuat untuk bangun selepas kecewa.


Bagaimana mengelakkan dari berputus asa?

  • Ramai berkawan dengan orang yang baik-baik.
  • Berguru dengan guru yang mursyid dan alim. Selalu berdamping dengan mereka. Jika jauh telefon atau SMS mereka.
  • SMS dan berhubung dengan kawan-kawan apabila berasa tertekan.
  • Mengadu kepada kaunselor (jika ada).
  • Minta pandangan orang lain apabila anda buntu terhadap sesuatu perkara.
  • Biasakan menegur jiran setiap hari atau setiap kali bertemu. Jenguk-jenguk apabila keluar rumah. Jangan menonong sahaja keluar dan masuk rumah.
  • Elak berseorangan. Jemaah itu berkat. Kalau anda nak keluar makan tengahari atau makan malam ajak seseorang bersama. Jangan fikirkan siapa yang nak bayar.
  • Jangan menangis tetapi menjerit dengan kuat sambil menggenggam tangan. Luahkan apa yang terpendam di hati anda. Jeritlah, "Aku akan bangun!"
  • Kekalkan solat di awal waktu. Berdoalah selepas solat - berdialoglah dengan Tuhan.
  • Adakah aktiviti luar atau out door pada hari Ahad atau cuti. Mulakan dengan joging selepas subuh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan