Isnin, 25 Januari 2010

SEMENTARA MENUNGGU KEPUTUSAN SPM

Foto: Ini bukan anak-anak yang sedang menunggu keputusan SPM tetapi remaja yang sedang santai di Pantai LOSARI di bandar Makassar, Sulawesi Selatan. Di mana pun di atas muka bumi ini remaja mempunyai sifat yang sama. Saya tengah mengintai-ngintai untuk menyusun sebuah buku bertajuk "EMPAT PEMUDA TERHEBAT ZAMAN RASULULLAH SAW"


Baru-baru ini saya bercakap dengan Ahmad Fitri Yahya dalam Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 tentang apa yang harus anda, anak anda atau adik anda lakukan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM?

Sebelum 'on the air' Fitri sempat bertanya, "Tuan Haji ke mana buat misi kemanusiaan?"

"Minggu lepas baru balik dari Aceh," jawab saya.

"Apa khabar Aceh? Teringin nak pergi lagi," kata Fitri.

"Aceh baik-baik saja. Semua tanah dah hijau. Rumah-rumah dah siap dibangunkan. Anak-anak yatim saya pun dah besar-besar. Ada yang dah nak masuk universiti. Di Banda Aceh taman permainan kanak-kanak pun dah beroperasi," terang saya.

Bila program bermula kami bercerita tentang apa yang anak-anak harus buat sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM. Saya beritahu:

Masa menunggu keputusan pepriksaan SPM ialah selaan masa 3 hingga 4 bulan di mana anak-anak akan menapak ke tahap yang lebih tinggi:

  • Masuk ke IPT dan akan menempuh sistem pembelajaran yang berlainan dengan apa yang mereka dapati di sekolah.
  • Mungkin mereka akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan akan berpisah lama daripada keluarga, kawan-kawan, jiran, masyarakat dan negara.
  • Mereka akan menapak ke alam dewasa dengan tanggungjawab dan persepsi hidup yang lebih matang dan mencabar.
Sebab itu, kata saya, anak-anak mesti menggunakan masa ini untuk membuat persiapan ke arah tahap tersebut. Antara persiapan itu ialah:

  • Menguasai bahasa kedua iaitu Bahasa Inggeris dan mungkin bahasa ketiga misalnya bahasa Arab jika mahu melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah atau bahasa Jepun atau Korea jika ingin melanjutkan pelajaran ke negara Timur tersebut.
  • Menguasai kemahiran komputer terutama dalam mendapatkan maklumat dan berkomunikasi.
  • Kemahiran mengurus diri dan tidak bergantung kepada penyeliaan dan arahan dari orang lain seperti ketika mereka di sekolah menengah dahulu.
  • Rasa tanggungjawab untuk menunaikan hak Yang Maha Pencipta iaitu solat lima waktu pada awal waktu dan berjemaah.
  • Persiapan kemahiran berkomunikasi.
  • Kemahiran mengurus rumah tangga terutama anak perempuan.
  • Kemahiran membaca bahasa tubuh (body language).

Foto: Ini adik Hasan, 13 tahun, anak Vietnam, di rumahnya. Kami duduk di rumahnya 3 hari waktu misi kemanusiaan. Yang peliknya setiap kali saya lalu sebelah biliknya, dia sedang mutalaah walaupun ketika itu musim cuti sekolah! Anda bagaimana?

Anak-anak yang sedang menunggu keputusan peperiksan SPM,

Anda harus faham bahawa sekarang masanya anda perlu berdikari. Anda tidak lagi perlu disuruh arah oleh ibu bapa atau abang kakak. Anda bekerja untuk kepentingan diri anda, bukan untuk kepentingan orang lain. Anda bekerja untuk membangunkan diri anda, bukan memenuhi hasrat ibu bapa atau orang yang menjaga anda. Cuma apabila anda berjaya mengawal diri sendiri, maka secara automatik hasrat ibu bapa atau penjaga anda akan tercapai juga.

Untuk itu apa aktiviti anda sebelum keputusan peperiksan keluar?

  • Cuba ikuti kursus dan seminar yang berkaitan.
  • Beli dan baca akhbar bahasa Inggeris. Anda kata anda tidak ada wang. Anda beli sahaja akhbar harian "The Sun" yang berharga 30 sen atau kadang-kadang anda boleh dapat percuma.
  • Beli dan baca buku pengetahuan, motivasi, agama atau sebagainya sekurang-kurangnya sebuah sebulan.
  • Bertukar maklumat bermanfaat melalui telefon bimbit dengan kawan-kawan atau bekas guru.
  • Ziarah dan tinggal dengan nenek di kampung, bapa saudara, sepupu atau adik beradik buat seminggu dua.
  • Buat aktiviti mengembara, sukan lasak, beriadah atau berehlah.
  • Tolong kerja ibu dan ayah terutama kerja yang berkaitan dengan kemahiran tertentu.
Fitri bertanya, "Bolehkah anak-anak bekerja untuk menimba pengalaman atau mendapatkan duit poket?"

Saya kata, "Boleh, tetapi mestilah bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pelajaran sahaja. Elakkan bekerja sebagai buruh yang bermatlamatkan semata-mata untuk mendapatkan duit poket."

Ada remaja yang mencari kerja di kilang, ladang kelapa sawit, tempat basuh kereta, restoran, kedai makanan segera dan pasaraya dengan gaji RM1.50 - 2.50 sejam. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Ipoh, gajinya mungkin lebih tinggi. Satu hari selama lapan jam dia akan memperolehi RM12 - 20. Sebulan 25 hari kerja dia akan mendapat pendapatan RM300 - 500.

Apa sangat yang dapat dikumpul dalam masa tiga hingga empat bulan. Pendapatan mungkin akan habis begitu sahaja setelah belanja makan, hiburan, membeli pakaian dan top up. Malah pendapatan itu tidak mencukupi bagi remaja yang merokok. Masa tiga atau empat bulan akan terbuang begitu sahaja.

Berlainan dengan pelajar kita di luar negara. Di Kanada umpamanya pekerja sambilan di restoren dibayar $10 sejam. Satu hari lapan jam mereka dapat $80. Sebulan 25 hari mereka dapat $2,000. Empat bulan mereka dapat $8,000. Itu bersamaan RM25,000. Menyimpan dan membawa balik amaun ini sudah mencukupi untuk buat duit hantaran kahwin!

Kalau anak-anak terpaksa bekerja sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, mereka hendaklah diawasi sepenuhnya. Kalau boleh pagi-pagi sarapan bersama. Kemudian hantar mereka ke tempat kerja atau hantar mereka hingga keluar pintu pagar rumah. Kalau dekat, balik makan tengahari. Lepas kerja petang terus balik ke rumah dahulu walaupun nak keluar semula sebelah malam. Makan malam bersama-sama. Jangan sekali-kali 'remote control' sahaja.

Keburukan anak-anak bekerja tanpa pengawasan:

  • Mudah terpengaruh dengan aktiviti kawan-kawan yang tidak sihat.
  • Boros berbelanja.
  • Menyeleweng penggunaan wang kerana baru berasa memiliki wang sendiri.
  • Menghilangan minat untuk melanjutkan pelajaran ke IPT.
  • Kurang masa untuk meningkatkan kemahiran tertentu.

Minggu depan saya bercadang menghantar anak saya yang sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM, Muhammad Salman al-Farisi atau yang dikenali sebagai al-Irani Muhammad dalam facebook buat kerja kemanusiaan di Rumah Anak Yatim Sri al-Ain Darul Tahfiz di Aceh selama sebulan.

Anak saya ni, saya tanya, "Kenapa pakai nama al-Irani?"

"Bukan ke Salman al-Farisi berasal dari Iran? Beliau mengembara mencari kebenaran dan berjumpa Rasulullah SAW di sebuah kebun tamar di Madinah."

Semoga Salman mengikut jejak langkah sahabat ahli syurga ini.