Sabtu, 7 Mac 2009

BELAJARLAH DARI SEJARAH

Foto: Bersama Dr. Komala Pomtas (kanan), pensyarah Kejuruteraan di Universiti Syiah Kuala, Aceh Darus Salam yang dijemput berceramah tentang sejarah tsunami di 10 tempat di Lembah Kelang dan Tanjung Karang sempena ulangtahun tsunami ke-empat - 25 Dis. 2008 baru-baru ini.

"Sesiapa yang mengambil pengajaran daripada sejarah, akan meningkatkan potensi kesedarannya." (Imam Syafi’i dalam ’Aja-ib al-Atsar)


Sejarah merupakan rakaman penting ketamadunan dan kehidupan manusia dan alam sekitar dengan zamannya. Sejarah bererti memahami tiga perkara:

1. Aliran perkembangan manusia dan alam masa lalu.

2. Apa implikasi pada situasi kemanusiaan masa kini.

3. Apa perspektif pembangunan masa depan peradabannya.

Ringkasnya kita memerlukan sejarah kerana ia menceritakan masa lalu, apa yang sedang terjadi dan apa yang kemungkinan atau pasti terjadi di masa depan.

Sejarah ialah riwayat perjuangan manusia dalam aspek benar dan salah atau baik dan buruknya. Al-Quran menjadikan kisah dan sejarah umat terdahulu sebagai salah satu muatan sistem peradaban manusia. Antara cara al-Quran mengajarkan keimanan kepada umat manusia adalah dengan menuturkan sejumlah kisah.

Al-Quran memaparkan sejarah atau kisah bukan sahaja orang soleh seperti Nabi Ibrahim a.s., Nabi Nuh a.s., Nabi Musa a.s., dan lain-lain; tetapi juga kisah para penentang Tuhan seperti Firaun dan Namrud.

Lihat sahaja sejarah perjalanan dakwah Rasulullah SAW. Ada iktibar besar. Anda bacalah sejarah pemimpin besar dunia seperti Mahatma Gandi dan Abraham Lincoln. Baca sejarah pemimpin dunia Islam seperti Salehuddin al-Ayubi dan Sultan Muhammad al-Fateh. Baca sejarah pejuang gerakan Islam seperti al-Shahid Hasan al-Banna atau Syed Qutb. Baca sejarah pemimpin semasa saperti Ahmadenejad dan Osama Ben Ladin (karya saya yang ke-28 yang bakal terbit menjelang April 2009).

Tetapi "Sejarah adalah omongan kosong bagi orang yang tidak mahu mengambil pengajaran," kata Henry Ford.

Sejarah tidak memberikan apa pun kepada orang seperti ini.

Namun, Cicero, seorang cendikiawan Yunani, mengatakan bahwa, "Seseorang yang tidak mempelajari sejarah akan menjadi seperti bayi - iaitu sering mengulangi kesalahan-kesalahan yang sama yang dilakukan sebelumnya."

Islam sendiri sangat menekankan kepentingan unsur sejarah, kerana ia memberikan pelajaran kepada umat Islam bahwa mereka adalah pelakon sejarah. Dengan membaca sejarah, mereka dituntut untuk meneliti sejarah dan mampu mengukir sejarah yang benar dan objektif.

Belajar sejarah adalah belajar ibrah (pengajaran) dan uswah (suri teladan). Sejarah buruk dijadikan ibrah (pengajaran teladan) dan sejarah kebaikan dijadikan uswah (teladan baik). Sejarah hendaklah dilihat bukan sebagai sogokan masa lalu yang mati tetapi merupakan peristiwa yang tetap hidup di masa kini.

Penyelewengan Dalam Sejarah

Sejarah sering menghadapi penyelewengan (distortion). Penyebabnya sangat banyak. Tokoh sejarah terkemuka, Ibnu Khaldun, yang mengarang kitab al-Mukadimah mencatat :

Sebab Kebohongan yang Menyelewengkan Sejarah

1.Karena semangat ingin terlibat kepada pendapat-pendapat atau mazhab-mazhab. Semangat ini cenderung untuk menghalangi pelakunya untuk melakukan sikap kritis dan analisa terhadap sejarah.
2.Terlalu percaya kepada orang yang menukilkannya.
3.Tidak memahami maksud yang sebenarnya.
4.Tidak mengetahui kondisi-kondisi sesuai dengan realiti yang sebenarnya karena cita-cita tertentu.
5.Adanya fakta bahawa sebahagian besar manusia cenderung mengambil hati para penguasa (seperti penjajah) atau yang memiliki posisi tertentu.
6.Ketidaktahuan tentang watak berbagai kondisi yang muncul dan peradaban.

Sejarah Perlu Diteruskan

Data-data sejarah telah banyak menunjukkan bahawa sejak awal perkembangannya, Islam telah melahirkan tokoh-tokoh sejarah yang gemilang. Sekarang kita harus bertanggungjawab untuk mewarisi peranan kepahlawanan tokoh tersebut agar nilai-nilai perjuangan mereka mampu membawa anak-anak generasi hari ini ke ruang keindahan Islam di bawah pohon rendang kegagahan agama Islam.

Sifat takwa merupakan kunci untuk kita mencipta sejarah. Allah SWT berfirman:

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." (Al-Hasyr:18)

Imam Abu Hanifah r.a. suatu ketika ditanya oleh salah seorang sahabatnya: ”Ya Imam, mengapa engkau memikirkan sesuatu yang belum terjadi, begini dan begitu?

Dengan cerdas Imam Abu Hanifah r.a. menjawab, "Orang cerdas adalah orang yang telah mempersiapkan jawaban sebelum pertanyaannya datang.

Moralnya ialah: Tugas penting kita saat ini adalah menemukan pikiran-pikiran dan idea besar untuk kemudian disesuaikan agar ia menjadi kemauan atau motivasi kolektif yang kuat.

Kelemahan Kita

Salah satu yang membuat kita sebagai umat Islam 'setengah hati’ adalah kerana kurangnya kita membaca dan memahami sejarah: Sejarah peradaban Islam, sejarah peradaban Barat, sejarah bangsa dan negara kita, termasuk sejarah diri kita sendiri. Untuk itu, kita hendaklah menoleh ke belakang pada saat kita berdiri tegak dalam menatap masa depan.

Hikmah Belajar Dari Sejarah

1. Sejarah kecemerlangan dicipta dengan susah payah. Jika kita mengikuti jejak langkah yang sama kita pasti mencapai kecemerlangan yang sama, jika tidak lebih lagi.
2. Belajar dari sejarah memendekkan masa trial and error.
3. Langkah yang diikuti dalam sejarah boleh ditingkatkan ketika kita mengikutinya, lantas meningkatkan keputusan.
4. Mengikut hukum alam (sunnatullah), sejarah akan berulang mengikut pusingan masa. Maka kita boleh merangka kemuncak kecemerlangan yang kita mahukan.
5. Al-Quran sendiri adalah buku Sejarah terpenting yang diaturkan Allah untuk kita ikuti.
6. Kejayaan orang terdahulu mencabar dan menaikkan semangat dan motivasi diri kita.
7. Sejarah mengajar kita bahawa orang yang miskin, lemah, daif dan serba kekurangan boleh mencipta kejayaan luar biasa.
8. Sejarah juga mengajar kita bagaimana Allah menghukum orang yang engkar, takabur, sombong dan lupa diri.

Kesimpulan:

Belilah sebuah buku biografi sebulan atau dua bulan sekali. Baca dan kaji kejayaan pemimpin tersebut. Hayati dan cubalah lakar sejarah anda sendiri berpanduan kecemerlangan tokoh tersebut untuk menuju kecemerlangan.

1 ulasan:

  1. saya belum mula dpat menulis..rupanya bukan mudah untuk menjadi penulis.walaupun sangat minat menulis..kerana bahan itu akan dibaca qrang dan pastinya banyak perkara perli ditapis untuk mmberi ilmu yang betul..
    sejarah?ramai yang mngantuk bila baca sejarah,,saya suka sejarah.tapi tak dapat ingat tahun dengan baik..tapi sya juga belum habisabaca buku sejarah Muhammad Al-Fateh..masih mencari buku yang menarik tentang pejuang islam yang lain:)

    BalasPadam