Jumaat, 13 Februari 2009

MELENTUR AUR DARI REBUNG

Apa yang dimaksudkan "melentur aur dari rebung"?

Aur ialah sejenis pokok buluh yang hidup di tepi sungai. Kalau kita hendak membengkokkan pokok buluh, hendaklah dilakukan sejak rebung (anak buluh). Seperti juga kita membentuk pokok bonsai. Kalau sudah menjadi pokok buluh, tidak boleh dilentur lagi kerana sudah keras. Jika dilentur juga, buluh akan patah.

Maknanya untuk mendidik anak hendaklah bermula dari kecil. Jika tidak dididik dari kecil dia akan membesar tanpa didikan yang sempurna. Apabila dewasa, susah mahu diasuh. Jika berkeras juga dia akan melawan, menderhaka atau lari dari rumah.

Setakat mana ketegasan kita mendidik anak?

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Anak dilahirkan suci bersih. Ibu bapanyalah yang menjadikan anak itu Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Maknanya kita hendaklah sangat tegas dalam mendidik anak. Tidak boleh bertoleransi. Jangan dibiarkan anak mencari jalan sendiri. Istiqamah (tetap adil) menghukum. Kita membentuk anak dengan acuan yang kita tetapkan. Misalnya jika kita mahu anak kita menjadi seorang hafiz atau hafizah, kita yang menentukan iaitu dengan mengajar mereka al-Quran sejak kecil atau menghantar mereka belajar ke institusi yang mendidik ke arah itu.

Jangan teragak-agak hendak mendidik anak dengan alasan dia masil kecil atau kesihan dia yang lemah atau keletihan. Misalnya teragak-agak mengejutkan anak untuk solat Subuh jika anak itu telah berusia tujuh tahun dengan alasan dia belum cukup tidur. Atau teragak-agak untuk mengejutkan anak yang tertidur tanpa solat Isyak.

Anak yang melakukan kesalahan hendaklah dihukum dengan hukuman yang setimpal. Misalnya jika anak tidak solat ketika berusia sepuluh tahun hendaklah dirotan dengan tujuan untuk mengajarnya tetapi jangan sampai mencederakannya.

Bagaimana mendidik anak remaja yang kurang asuhan?
  • Tunjukkan kasih sayang, jangan disisihkan.
  • Ajak berbincang dengan rasional, jangan berleter.
  • Ajak bersama apabila berpergian atau keluar daerah.
  • Ajak bekerja bersama-sama, bukan menyuruharahnya.
  • Beri kerja dengan ikhlas, bukan menyindirnya.
  • Tidak membezakan layanan daripada anak-anak lain yang masih kecil (adiknya).
  • Jangan merendah-rendahkan kemampuannya. Sebenarnya anak remaja mempunyai kemampuan yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu.
  • Beri peluang atau lantik menjadi ketua mengepalai sesuatu tugas atau sesuatu kumpulan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan