KENAPA DIPANGGIL"PERMATA HATI"?
Permata ialah sejenis galian yang boleh dijadikan barang perhiasan yang sangat berharga, cantik dan bermutu tinggi. Hati ialah raja pada diri. Jadi "permata hati" ialah anak atau zuriat yang dianugerah Allah yang sangat tinggi nilainya, mulia darjatnya dan sempurna kejadiannya.
Kita harus mengakui akan keistimewaan seorang anak yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita. Potensi seorang anak melebihi harta benda, wang ringgit, pangkat dan status. Dan anak juga yang akan mewarisi sisa-sisa perjuangan kita di atas muka bumi ini.
Apabila kita meninggal dunia, maka terputuskan hubungan kita dengan dunia kecuali jika mempunyai anak yang soleh yang mendoakan kita serta melakukan amal soleh yang mengalir pahalanya.
APA KAITAN MENJAGA PERMATA DENGAN MENDIDIK ANAK?
Orang menyayangi permata dan menjaganya dengan bersungguh-sungguh. Orang sanggup mati demi mempertahankan permatanya dari dirampas orang. Disimpannya permata di tempat yang paling selamat dan paling istimewa. Orang sanggup berbelanja berapa sahaja asal permatanya selamat.
Anak seharusnya mendapat layanan yang lebih istimewa kerana anak berpotensi lebih tinggi daripada permata. Anak hidup sedangkan permata mati. Anak yang soleh menjadi milik kita selepas meninggal dunia sedangkan permata akan jatuh ke tangan orang lain.
Sebab itu kita harus sanggup berbelanja berapa sahaja untuk melahirkan anak yang soleh. Jagalah anak lebih daripada menjaga permata. SAYANGILAH ANAK LEBIH DARIPADA KITA MENYAYANGI PERMATA ATAU WANG RINGGIT. Letakkan anak di tempat yang mulia dan tinggi.
Jagalah kehormatan diri anak gadis kerana dia insan yang mulia di sisi Allah SWT. Jangan jadikan diri anda lebih hina dari orang Arab jahiliah yang membenci anak perempuan dan mengagungkan anak lelaki.
Orang yang tidak mendidik anaknya dengan sempurna seperti meletakkan sebutir permata di dalam longkang. Amat tidak wajar sekali. Orang yang tidak menjaga keselamatan anaknya seperti meletakkan permata di tepi jalan untuk dicuri penjahat.
APA PERBEZAAN MEMILIKI ANAK YANG RAMAI DENGAN HARTA YANG BANYAK?
Bergembiralah memiliki anak yang ramai. Anak anugerah Allah SWT. Berapa ramai orang yang berkahwin inginkan menimang cahaya mata, namun Allah SWT tidak menganugerahkan anak kepada mereka. Dan berapa ramai orang yang tidak mahukan anak lagi, namun saban tahun mereka tetap mendapat cahaya mata baru.
Ini menunjukkan bahawa anak itu rezeki yang kita tidak tahu puncanya. Bukan kehendak kita. Allah SWT yang menghendaki dia lahir ke dunia. Sebab itu Allah SWT akan menjamin rezekinya, jodohnya dan ajalnya.
Kalau seandainya Allah SWT mengambil nyawa anak kita ketika kecil, itu juga bukan kehendak kita dan bukan dalam kuasa kawalan kita. Anak milik Allah dan Allah berhak mengambilnya kembali.
Harta yang banyak menyusahkan kita kerana wajib menjaganya. Kadang kala orang membunuh kita kerana mahu merampas harta kita. Harta yang tidak ditadbir dengan sempurna akan menyusahkan kita seperti wang yang disimpan di dalam bank akan memberi kita hasil riba yang haram digunakan.
Harta yang banyak juga akan menyebabklan anak-anak berkelahi, kadang-kadang ketika jenazah kita masih terbujur di tengah rumah. Harta yang banyak juga akan menyebabkan kita membazir serta dihisab oleh Allah SWT.
SAHABAT BAGINDA ABDUL RAHMAN BIN AUF IALAH SALAH SEORANG SEPULUH SAHABAT YANG DIJAMIN SYURGA, NAMUN BELIALAH ORANG YANG PALING AKHIR MASUK SYURGA KERANA LAMANYA MASA UNTUK MENGHISAB HARTANYA SATU PERSATU. Itupun semua hartanya halal. Betapalah jika ada harta yang haram. Sudah tentu tidak masuk syurga.
Sebaliknya anak yang ramai akan menjaga ibu dan ayahnya apabila berada pada usia lanjut nanti. Rasulullah SAW suka umatnya yang ramai. Jika kita ramai anak, peluang untuk memiliki anak-anak yang soleh lebih cerah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan