Foto: Bersama Along Kadir (tengah) dalam majlis kenduri kahwin Dik Nor, anak Induk Serah. Kelihatan rumah Moyang Nipis. Di belakang rumah itu saya terjatuh dari pokok manggis.
Seingat saya saya hampir MATI sebanyak empat kali:
Kali pertama ketika berusia 6 tahun: Tiap-tiap petang balik dari sekolah saya mengikut emak ke sawah. Ikut musim; sama ada musim menyangkul, musim mengubah atau musim menuai. Kalau musim menyangkul - tolong emak menyangkul sampai melecet tangan. Musim mengubah yang seronok sekali kerana kerjanya kreatif menyusun rekabentuk barisan rumpub padi yang ditanam dan dapat bermain lumpur. Musim menuai saya akan mendorong basikal tua untuk membawa pulang satu guni padi setiap petang. Apa-apa pun apabila petang semakin tua, kami akan ke sungai (Sungai Rembau) untuk mandi-manda.
Tempat mandi ini ada yang cetek dan ada yang dalam. Kawasan yang paling dalam dipanggil lubuh Cuma. Ntah macam mana saya berenang ke tempat yang dalam. Bila kaki tak mencecah tanah, badan pun tenggelam. Air masuk ke lubang hidung dan mulut. Saya cuba menyelamatkan diri tapi tak berdaya.
Apabila tersedar saya sudah ditatang Cik Mahmud (jutaan terima kasih kepada Bang Mahmud) dibawa ke darat dan dikeluarkan air dari perut saya. Yang paling kuat menangis dan melolong ialah emak. Alhamdulillah saya selamat daripada cubaan mati yang pertama.
Kali kedua ketika berusia13 tahun: Musim buah-buahan sudah menghujung. Saya memanjat sepohon manggis tua di dusun Moyang Nipis. Untuk mendapatkan saki baki buah yang menghujung musim, dahan tempat saya berpijak patah. Saya terjatuh ke tanah.
Ingat-ingat saya telah ditimbuni dengan daun-daun kayu kering dan sampah pelepah pinang serta dijirus air. Orang kampung saya panggil amalan ini sebagai "memanggil nyawa." Induk Serah dan emak juga orang yang paling tak keruan apabila mendapat berita saya jatuh. Alhamdulilah, saya selamat lagi dari cubaan mati yang kedua.
Kali ketiga ketika berusia 25 tahun: Saya sedang memandu kereta pertama Toyota Corolla menghampiri bandar Sungai Besar di Selangor bersama isteri. Kerana terlepas masjid sebelah kanan saya berpatah membuat u-turn. Tiba-tiba sebuah kereta meluru dengan lajunya dan menghentam kereta saya betul-betul di tempat pemandu. Saya pengsan. Apabila tersedar orang ramai telah mengerumuni saya dan bertanya, "Melayu ke Jawa?" Kereta bengkok dua. Alhamdulilah isteri selamat dan saya pun selamat daripada cubaan mati yang ketiga.
Foto: Isteri bersama cucu kesayangan kami, Iman.
Kali keempat ketika berusia 35 tahun: Saya menghampiri pekan Tanjung Karang dari Simpang Empat di Selangor. Dekat selekoh kereta saya Suzuki Jeep hilang kawalan dan terbalik 2 kali berakhir dengan empat roda ke atas. Total lost. Saya dihantar orang ke Hospital Tanjung Karang. Alhamdulillah selamat dari cubaan mati keempat, cuma berjahit di kepala, dahi dan tangan.
Sekarang saya berusia 53 tahun. Saya amat bersyukur Allah SWT memanjangkan usia saya setakat ini. Saya amat pasrah yang "MATI ITU DATANG TIBA-TIBA." Anda dan saya,"Bersediakah kita?"
Saya akan menyorot persoalan ini dalam majalah bulanan SOLUSI isu No. 8, Jun 2009, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
MATI YANG PALING MULA ADALAH MATI SYAHID....
BalasPadam