Nasib Malang Anda
Dalam mengharungi kehidupan ini sering semua langkah anda tidak menjadi. Nasib anda sentiasa dirundung malang. Atau anda kata, "Nasib tidak menyebelahi diri aku."
Kenapa anda seorang sahaja yang dirundung malang? Kenapa orang lain mampu beroleh kejayaan? Kenapa orang lain sentiasa berada di hadapan anda?
Sebenarnya anda yang menentukan nasib anda sendiri. Anda mahu berjaya, anda yang menentukan. Tuhan menjadikan manusia ini mempunyai kekuatan pada dirinya sendiri. Manusia bukan malaikat yang nasibnya ditentukan Tuhan. Manusia bukan haiwan jinak yang nasibnya ditentukan oleh tuannya. Atau haiwan liar yang nasibnya ditentukan oleh persekitarannya.
Tuhan menganugerahkan akal kepada manusia. Dengan akal ini manusia menentukan nasibnya sendiri.
Tapi anda kata, anda seorang yang lemah. Anda sering kalah dalam medan pertarungan untuk hidup. Itu memang benar. Manusia, makhluk yang lemah. Dari segi kekuatan fizikal manusia memang lemah. Yang kuat hanya Tuhan. Manusia sering kalah dengan alam. Kerana alam itu manifestasi Tuhan. Manusia sering ditimpa sakit. Tapi ini salah anda sendiri kerana tidak menjaga kesihatan.
Pasal Rokok
Kalau pasal makan anda selalu kalah dengan nafsu makan anda. Anda merokok kerana anda kalah dengan pemikiran rasional anda. Kenapa orang lain boleh untuk tidak merokok? Anda kata, "Orang yang merokok juga boleh berjaya!" Memang benar, kejayaan anda bukan bergantung pada sebatang rokok. Kejayaan anda bergantung pada usaha anda sendiri.
Kadang-kadang "Alam tidak bersahabat dengan kita." Kita sering kalah dengan cuaca. Kita ditimpa bencana. Kita dihidupkan dalam kelompok yang malang. Persekitaran kita tidak membantu kita untuk berjaya. Keluarga juga.
Anda tidak boleh menyalahkan persekitaran anda. Berapa ramai orang yang berjaya datang dari keluarga yang miskin atau datang dari kelompok masyarakat yang dirundung malang. Malah ada yang datang dari kawasan bencana. Mereka berjaya kerana mereka keluar dari kotak pemikiran kelompok dan keluarga itu. Mereka membina nasib baru di kelompok baru.
Tapi kadang-kadang anda takut untuk keluar dari kotak pemikiran anda. Anda seorang penakut. Anda tidak punya keyakinan diri.
Kisah Abdillah
Seorang anak dari pedalaman Sabah bernama Abdillah (bukan nama sebenar) belajar di sebuah sekolah swasta di Kuala Lumpur pada awal tahun 80-an. Saya yang mengajarnya. Anak ini sangat lemah Matematik, subjek saya. Tetapi saya nampak dia mempunyai bakat yang tinggi. Lantas saya tarik dia masuk kumpulan usrah yang ditubuhkan untuk memberi bimbingan kepemimpinan kepada pelajar terpilih.
Sungguh tidak saya sangka Abdillah menegur dan memeluk saya selepas memberi ceramah di Malaysian Hall London dalam perjalanan saya ke Makkah beberapa tahun kemudian. Hari ini Abdillah seorang peguam dan pemimpin peringkat negeri sebuah parti politik di Sabah. Baru-baru ini ketika saya "on the air" dalam Selamat Pagi Malaysia TV3, Abdillah telah menalipun mengulas persoalan yang sedang diperkatakan. "Tuan haji ini guru saya," akui Abdillah.
Bukanlah Abdillah keluar dari kepompong masyarakatnya untuk membina kehidupan! Anda bagaimana?
Cerita Si Anak Kucing
Jadi anda ketinggalan dan sering kalah dalam pertarungan hidup bukan salah sesiapa. Bukan salah Tuhan. Bukan salah nasib. Bukan salah kelompok atau keluarga anda. Tetapi salah diri anda sendiri.
Seekor anak kucing yang kurus, berkudis dan hampir mati kelaparan di tepi jalan mampu untuk menjadi seekor kucing dewasa yang gemuk, cantik, bersih, ceria dan hidup di istana dengan segala kemakmuran makanan dan tempat tinggal yang mewah. Sudah tentu nasib anda lebih baik dari nasib seekor anak kucing!
Pendekatan segera yg boleh dilakukan oleh orang melayu ialah dengan mencri peluang untuk majukan diri. Cari peluang dan ambil peluang. Saya ada pengalaman ttg ini.
BalasPadamView Profile: Rantong