- Mereka tidak tahu bagaimana mahu solat.
- Mereka fikir solat itu tidak penting dan tidak perlu.
- Mereka malas untuk solat.
- Solat atau tidak, tidak membawa apa-apa makna bagi mereka.
Tidak mungkin! Ini cerita 30-40 tahun dahulu di mana ramai orang jahil tentang solat. Kerana apa? Kerana mereka tidak pernah belajar solat. Waktu kecil mereka tidak pergi sekolah seperti sebahagian warga emas yang sekarang berusia 70 tahun ke atas.
Hari ini anak-anak kecil di tadika pun sudah belajar solat. Mualaf yang baru masuk Islam pun memakan masa cuma 3 bulan sahaja untuk belajar solat! Malah hari ini ada mualaf yang boleh mengajar orang yang Islam sejak lahir membaca al-Quran - dengan lagu (tarannum) pula tu. Ah malunya!
Solat Tidak Penting?
Hari ini ramai anak-anak remaja yang berpendirian begini. Solat atau tidak sama sahaja bagi mereka. Malah solat menyusahkan. Penat dan letih. Membuang masa. Astagfirullah hal azim.
Mereka melihat orang yang tidak solat pun boleh berjaya dalam hidup. Mereka berkawan dengan kawan-kawan yang tidak mementingkan solat dalam kehidupan harian.
Malas untuk solat
Ini yang ramai. Mereka menangguh-nangguhkan solat hingga habis waktu. Bagi mereka susah untuk ambil wuduk. Susah untuk membentang sejadah. Susah solat ketika dalam perjalanan. Susah untuk solat di rumah orang. Takut orang serba salah. Takut menyusahkan orang.
Mereka ada kesedaran untuk solat. Kadang-kadang mereka menyesal kerana meninggalkan solat. Bila timbul kesedaran dan ada kesempatan mereka akan mengqadakkan solat yang tertinggal.
Solat atau tidak sama sahaja
Yang ini pun ramai juga. Tapi yang ini paling malang. Mungkinlah Allah belum mencampakkan rasa kehambaan mereka kepada Allah SWT. Mereka tidak berasa perlu untuk solat. Cuma kalau sudah terpaksa dan semua kemudahan dan kesempatan sudah terhidang di hadapan mata baharulah mereka solat. Atau sudah terpaksa, kerana semua orang solat, jadi terpaksalah solat juga.
Anda termasuk dalam golongan mana?
Aku ingat, aku mula solat ketika berusia 13 tahun. Ketika aku bersekolah di sekolah rendah tidak ada guru atau ustaz yang suruh atau mengajar aku solat. Keluarga aku pun tidak solat ketika itu. Bila naik ke sekolah menengah barulah aku terdedah untuk solat.
Aku membeli sebuah buku solat dan membacanya kuat-kuat sambil berlatih solat di hadapan cermin besar. Aku mula pergi ke masjid dan mengaitkan rukun fikli dan rukun qauli yang aku lihat dan aku dengar dengan apa yang aku baca daripada buku.
Sejak itu aku tidak pernah tinggal solat. Aku bertuah kerana berkawan dengan Abang Baferi Salim. Dia head boy (ketua umum) dan anak imam kampung aku. Dia pun tidak pernah tinggal solat. Dia yang memandu dan mengajar aku tentang remeh-temeh solat.
Abang Baferi akhirnya menjadi seorang penyaer lumpuh hingga ke akhir hayatnya kerana terlibat dengan kemalangan motosikal kuasa besarnya dengan sebuah lori ketika belajar tahun dua di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Gerakan Bawah Tanah
Waktu belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) aku terlibat dengan Badan Revolusi Ugama (BRU) dan terus berjinak-jinak dengan masjid dan surau. Aku juga terlibat dengan Shamelin (Syarikat Melayu International) yang bergerak secara haram di kolej ketika itu, yang diasaskan oleh Tan Sri Sanusi Joned. Kami mengadakan perjumpaan pukul dua pagi di gelanggang "fives" - sejenis permainan British semacam squash yang semakin pupus.
Gerakan bawah tanah ini yang kemudiannya dipimpin oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim banyak memberi kesedaran kepada aku tentang nasib orang Melayu termasuk kesedaran tentang kewajiban solat.
Pada setiap hari minggu apabila kami dibenarkan keluar ke bandar dan pelajar-pelajar lain menonton wayang di panggung Rex di pekan Kuala Kangsar, grup kami masuk ke kampung-kampung untuk memberi tuisyen kepada anak-anak miskin.
Solat Dinding Maksiat
Ketika melanjutkan pelajaran di Hobart, Tasmania, Australia, aku juga tidak pernah tinggal solat. Mungkin berkat dengan amalan inilah agaknya yang memelihara aku hingga aku tidak pernah minum arak walau setitik dan tidak pernah bergaul bebas dengan mek saleh ketika ada kawan yang tinggal sebilik dengan mek saleh seperti suami isteri. Malah aku tidak pernah melangkah ke kelab malam dan tidak pernah merokok walau pun sesedut selama lima tahun di negara kanggaru itu.
Kuncinya aku tetap solat walaupun di atas tanah di tepi pantai ketika mengadakan hari keluarga dengan foster parent (keluarga angkat). Aku dengan beberapa orang kawan menubuhkan kaunsel untuk membina masjid yang pertama di Tasmania. Aku tak sempat merasa solat di masjid ini tetapi sekarang ianya tersergam gagah di Hobart. Baru-baru ini dengar kawan aku ketika belajar di Hobart, Sabri, menjadi imam di masjid tersebut.
Solat Dalam Tandas
Cabaran paling sengit ialah ketika aku melanjutkan pelajaran ke University of Newcastle di New South Wales. Di situ cuka ada 5 orang pelajar Islam, itu pun jarang-jarang bertemu. Aku masih ingat lagi aku solat Zohor di dalam tandas. Untuk pengetahuan anda, tandas di Australia ini "super" bersih. Percaya atau tidak, kalau anda makan donat dan donat anda terjatuh di atas lantai tandas, anda masih boleh mengutipnya dan sambung makan!
Aku juga pernah solat di dalam dewan kuliah, ketika pensyarah sedang mengajar kerana kuliah dua jam aku melampaui waktu Maghrib. Cuma mat saleh di sebelah tempat duduk aku berasa pelik apa yang aku lakukan.
Solat Dalam Gereja
Tanpa berlengah aku menubuhkan persatuan pelajar Islam yang pertama dan dilantik menjadi Presiden. Perkara pertama yang aku perjuangkan ialah mendapatkan sebuah surau. Akhirnya diberi satu sudut daripada gereja mereka. Gereja pun gerejalah!
Akhirnya aku berjumpa dengan penduduk Islam tempatan yang berhijrah dari Pakistan, Lebanon danYugoslavia. Kami membentuk sebuah jawatan kuasa untuk membina sebuah masjid. Aku dilantik sebagai setiausaha. Dengan bermodalkan AUD60,000 kami membeli sebuah rumah untuk dijadikan masjid. Aku dilantik untuk tinggal di masjid tersebut dan menghidupkan solat berjemaah.
Membina Masjid di Kemboja
Di situlah aku berkenalan dengan Prof. Dr. Asfaq Ahmad, asal Pakistan, pensyarah Fizik dari University of Sydney yang menjadi President Australian Federation of Islamic Council (AFIC). Kami menjemput Dr. Mohamed Ali dari Islamic Development Bank (IDB) untuk menjana kewangan untuk membina sebuah masjid baru. Masjid belum terbina aku sudah balik ke Malaysia. Namun hari ini aku lihat melalui google map, Masjid New Castle sudah tersergam indah.
Baru-baru ini apabila berjaya menyiapkan sebuah masjid di Kampong Chhnang di Kemboja, mendirikan sebuah surau di Kampung Pisangan di Ciputat, Jakarta dan menghidupkan surau di perkampungan orang Asli di Kampung Merbau, Pahang aku bersyukur ke-Hadrat Allah SWT yang telah memberi aku laluan pada zaman remajaku hingga aku terbawa-bawa ke zaman usia matangku.
Anak-anakku dan para remaja sekalian,
Apakah anda masih lagi dibuai mimpi hinggakan untuk solat Subuh pun anda tidak mampu bangun? Sedangkan hari ini anda sudah memiliki segala kesenangan dan kemewahan untuk beribadah!
salam pak haji itteww..
BalasPadamsubhanallah..
BalasPadambetul kata haji, tuju pada diri ini..masih jahil dan masih lagi tidak sempurna amalannya..lbh2 lagi bab solat. Semoga Allah memberi peluang untuk hambanya ini berubah..AMIN.
Fakeh: Terima kasih.
BalasPadamEn_me: Keep in touch.
NcekYus:Allah sentiasa memberi kita peluang baru setiap saat.
membaca kisah Tuan Haji bersolat di tandas, saya juga pernah ada pengalaman itu semasa di Paris. mana nak cari surau di sana? selesai solat datang beberapa pengawal dengan wajah yang agak garang. mujur diorg tak pulak marahkan kami cuma merenung tajam... tapi pengalaman tu paling bermakna dalam hidup ni... :) dan benar, toilet mereka sgt bersih!
BalasPadam