Khamis, 3 November 2011

Kuasa Ajaib Angin

Angin adalah makhluk yang dijadikan Allah SWT dengan sejuta hikmah dan keajaiban. Angin tidak dapat dilihat, namun kehadirannya sentiasa dapat dirasai. Jika kita menggunakan angin untuk kebaikan, maka hasilnya ialah kebaikan. Sebaliknya jika kita menggunakannya untuk keburukan, maka hasilnya ialah keburukan.

Ahli sains dari dahulu kala sentiasa mengkaji bagaimana untuk mendapatkan manfaat yang optimum daripada angin. Sebahagian telah ditemui dan dimanfaatkan. Mungkin sebahagian besar lagi masih belum ditemui.

Manusia zaman dahulu menggunakan angin untuk menghidupkan api dan menghasilkan kepulan asap tebal yang dilepaskan ke udara menggunakan sehelai kain. Selaan masa asap yang naik ke udara itu membawa isyarat dan maksud tertentu. Mesej daripada isyarat asap itu boleh dibaca dari jauh oleh kaum dari daerah lain. Kaedah ini merupakan teknik komunikasi terawal manusia.

Angin Sebagai Kenderaan

Untuk bergerak merentasi lautan manusia mereka rakit, perahu dan kapal. Untuk bergerak lebih laju mereka memasang layar yang dibuat daripada kain untuk ditiup angin. Datuk saya bercerita yang moyang saya bernama Lebai Aris belayar dari Paya Kumbuh di Sumatera menyeberangi Selat Melaka dan mudik masuk ke Sungai Linggi lalu membuka perkampungan di Lubok China di Melaka. Sampannya menggunakan layar kain daripada serbannya.

Tetapi hari ini para pencinta sukan perahu layar menggunakan kapal layar moden berteknologi tinggi yang berharga jutaan ringgit. Anda juga mungkin masih ingat pelayar dari Malaysia, Dato’ Azhar Mansor yang mengelilingi dunia menggunakan perahu layar. Mereka semuanya tetap menggunakan anugerah Allah yang sama iaitu angin.

Di padang pasir pun manusia mencipta kapal yang boleh digerakkan oleh angin walaupun kenderaan ini tidaklah begitu popular kecuali untuk tujuan rekreasi dan saintifik.

Kita juga sering mendengar jemaah dari Malaysia suatu ketika dahulu pergi menunaikan fardu haji di Makkah dengan menaiki kapal layar. Kapal mereka belayar menyusuri pantai Thailand, Myanmar (dulu Burma), Bangladesh (dulu Pakistan Timur), India, Sri Lanka, Pakistan, Iran, menyeberangi Laut Arab, masuk ke Teluk Aden, Laut Merah dan akhirnya berlabuh di Jeddah. Perjalanan memakan masa tiga bulan pergi dan tiga bulan balik dengan 40 hingga 45 hari di Makkah dan Madinah.

Sekarang untuk pergi menunaikan fardu haji tetap menggunakan angin juga tetapi dengan pesawat yang hanya memakan masa sembilan jam dari Kuala Lumpur ke Jeddah. Mungkin suatu hari nanti akan ada pesawat yang boleh terbang sejauh itu dalam masa dua jam sahaja!
Sebelum Allah SWT menjadikan manusia, Allah telah menjadikan haiwan seperti burung yang boleh terbang di udara. Kemudian manusia meniru aksi yang sama untuk terbang dari tebing tinggi dengan melekatkan bulu pada kedua-dua belah lengan mereka. Sudah tentu ramai yang tidak berjaya kerana bukanlah semudah itu Allah hendak mendedahkan ilmunya hinggalah dua adik beradik bernama Orville Wright dan Wilbur Wright berjaya mencipta kapal terbang yang pertama pada 17 Disember 1903.

Dari situlah ilmu Allah terbuka lebih luas. Jurutera mencipta pelbagai jenis kenderaan udara seperti belon panas, hang glider, hoverkraf, helikopter, jet pejuang, kapal angkasa, satelit dan sebagainya.

Untuk terbang di udara bukanlah suatu yang mustahil. Bukankah dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW terbang menaiki kenderaan buraq dari Masjidilharam ke Masjid ‘Aqsa dan seterusnya naik ke Sidratul Muntaha kemudian kembali semula ke Makkah, cuma dalam masa semalam sahaja?

Nabi Sulaiman a.s., satu-satunya nabi yang boleh berkomunikasi dengan haiwan diceritakan dalam al-Quran dalam surah al-Naml ayat 10 hingga 44, baginda memerintahkan burung hud-hud untuk mengutus surat dakwahnya kepada Ratu Balqis, raja negeri Saba’ yang cantik dan bijak, untuk memeluk agama tauhid. Sudah tentu burung hud-hud menggunakan angin untuk terbang pada zaman itu.

Kemudian Nabi Sulaiman a.s. memerintahkan pula kaum jin untuk memindahkan istana Ratu Balqis juga menggunakan angin. Kagum dengan kehebatan Nabi Sulaiman a.s., akhirnya Ratu Balqis memeluk agama tauhid dan berkahwin dengan baginda pada hari Jumaat. Inilah kehebatan makhluk udara ciptaan Allah.
Komunikasi Melalui Udara

Suatu ketika dahulu ketika telefon mula diperkenalkan di Turki, ulama tempatan telah menghukumkannya haram kerana mereka menyangka pencipta telefon telah bersekongkol menggunakan khidmat dan kuasa makhluk halus dari kalangan kaum jin untuk membawa suara manusia ke suatu tempat dengan jarak yang jauh dalam masa yang terlalu singkat.

Tetapi akhirnya apabila pejabat mufti turut dibekalkan dengan perkhidmatan telefon dan para ulama diberi penerangan bagaimana suara manusia boleh bergerak dengan laju melalui dawai kuprum, semua ulama akur bahawa hukum baru bagi menggunakan perkhidmatan telefon adalah harus. Malah fardu kifayah hukumnya bagi menyediakan perkhidmatan telefon untuk kemudahan perhubungan sesuatu kaum.

Kemudian perkhidmatan teleks menyusul. Setelah itu dicipta faksimile. Rangkaian kabel bawah laut berselirat di serata dunia. Teknologi terus berkembang. Kuprum diganti dengan gentian kaca.

Itulah keajaiban bahan galian kuprum dan gentian kaca ciptaan Allah SWT yang disimpan di perut bumi, yang mampu diterokai oleh saintis awal. Apabila manusia semakin bijak, ilmu pun semakin berkembang. Kebijaksanaan manusia pun berkembang atas anugerah Allah SWT jua. Akhirnya suara dan gambar bukan sahaja boleh dihantar melalui dawai kuprum dan gentian kaca, malah mampu dihantar melalui udara dengan jangkauan yang lebih jauh dengan penciptaan satelit, radio, TV, Internet dan telefon bimbit. Manusia boleh menonton siaran langsung yang beribu kilometer jauhnya.

Hari ini perhubungan manusia seluruh dunia sudah boleh dikendalikan di hujung jari dengan genggaman “one-piece gadget.” Tiada lagi talian kuprum dan gentian kaca. Sekarang perhubungan dibuat melalui udara yang ajaib.

Bolehkah anda berfikir bagaimana kemampuan udara di sekeliling anda mengendalikan pelbagai jenis gelombang yang dipenuhi dengan maklumat yang paling rumit tanpa berlaga antara satu sama lain. Apakah Allah SWT menyusunnya sepertimana Allah SWT menciptakan sistem suria dan galaksi dengan jutaan bintang-bintang dan planet yang berputar pada orbitnya tanpa berlaga antara satu sama lain?

Udara dalam Tubuh Badan

Dalam bentuk mikro, pernahkah anda berfikir tentang udara yang anda sedut setiap masa dan ketika? Allah SWT ciptakan udara dengan komposisi tertentu. Hanya 21% mengandungi oksigen yang diperlukan oleh tubuh. Allah SWT memberi oksigen secara percuma kepada manusia. Kalaulah manusia dikenakan bayaran 10 sen bagi setiap kali menyedut udara seperti mana kita dikehendaki membayar tol ketika melalui lebuh raya, nescaya ramai manusia yang mati tidak dapat bernafas kerana tidak mampu membayar harga tersebut.

Namun udara yang percuma ini perlu dikendalikan sebaik mungkin. Udara ini perlu disedut melalui lubang hidung ke dalam tenggorokan dan seterusnya ke dalam paru-paru. Allah SWT menciptakan paru-paru manusia dengan ciptaan yang paling rumit dan sensitif supaya udara tersebut dapat diserap ke dalam saluran darah sebelum disampaikan ke otak. Malangnya ramai manusia yang tidak menghargai anugerah ini malah menggunakan paru-paru untuk tindakan yang boleh merosakkan diri sendiri seperti menghisap rokok dan dadah atau menghidu gam.
Dalam pada itu Allah SWT jadikan juga udara yang beracun dan merbahaya kepada tubuh badan terutama sistem saraf dan otak, malah boleh membunuh seperti gas sarin, VX, karbon monoksida, karbon dioksida dan klorin.

Ada komposisi udara yang sangat ringan seperti hidrogen hingga boleh digunakan untuk menerbangkan kapal udara atau Zeppelin sekitar tahun 1900-an. Malangnya hidrogen mudah terbakar dan meletup hingga menyebabkan kemalangan udara yang dahsyat.
Ahli sains beralih pula kepada gas helium yang sama ringan namun tidak boleh terbakar. Lihatlah betapa pemurahnya Allah SWT dalam menyediakan keperluan dan kemewahan hidup untuk makhluk-Nya.

Ribut dan Taufan

Allah SWT juga menjadikan angin dalam pelbagai bentuk dan magnitud. Daripada angin yang tenang, angin sepoi-sepoi bahasa hingga kepada angin kencang, ribut taufan dan puting beliung. Semua kategori ini ada manfaat dan mudarat kepada manusia. Terpulang kepada kita untuk memanipulasinya.

Bagaimana angin terjadi? Apabila matahari membakar bumi pada waktu pagi, kawasan tanah lebih cepat panas dari kawasan lautan. Wap panas bumi akan naik ke udara kerana ia ringan. Maka terjadi ruang lompong dan tekanan udara menjadi rendah.
Akibatnya udara dari kawasan lautan yang mempunyai tekanan tinggi akan mengisi ruang lompong ini. Maka terjadilah angin dari lautan ke daratan. Tiupan angin ini membantu nelayan untuk pulang ke daratan selepas menangkap ikan.

Pada waktu malam pula, kawasan tanah lebih cepat sejuk. Namun air laut masih panas. Situasi yang sama mencetuskan angin bertiup dari daratan ke lautan. Fenomena ini memudahkan nelayan untuk turun ke laut.

Perbezaan tekanan udara yang mendadak akan menyebabkan berlakunya ribut dan taufan. Ribut dan taufan sering menyebabkan kerosakan harta benda dan nyawa manusia. Angin yang bertiup juga boleh menyebabkan kebakaran hutan merebak dengan cepat lalu memusnahkan hutan hijau dan ladang pertanian, malah rumah kediaman dan nyawa manusia.

Di Belanda (Netherland), kincir angin digunakan untuk menaikkan air sungai atau tasik daripada paras rendah ke dalam terusan yang berada pada paras tinggi untuk kegiatan pertanian. Kincir angin juga digunakan untuk membuang air banjir ke laut kerana negara Belanda memang terkenal sejak dahulu sebagai negara di bawah paras laut. Dalam bidang perindustrian pula, kincir angin digunakan untuk mengisar jagung atau bijirin lain yang dipanggil “cornmill” atau untuk menggergaji kayu yang dipanggil “sawmill”.

Petani yang mengusahakan perusahaan membuat garam di Surabaya, Indonesia menggunakan kincir angin untuk mengepam air laut naik ke tambak garam mereka.
Di Eropah dan Amerika Utara pula, kincir angin menggerakkan turbin angin bagi menghasilkan kuasa elektrik untuk kegunaan kediaman dan industri. Sebahagian negara pengeluar minyak pula menggunakan kincir angin untuk mengepam minyak daripada telaga minyak yang tidak mempunyai tekanan semula jadi yang tinggi.

Di kawasan padang pasir, tiupan angin digunakan untuk memusingkan kincir angin yang boleh mengepam air daripada sumber air bersih dalam tanah.
Angin juga menyebabkan ombak di lautan yang sentiasa berlari menuju pantai secara semula jadi tanpa memerlukan sebarang tenaga tolakan. Tenaga ombak ini digunakan untuk memutar turbin yang boleh menjana tenaga elektrik.

Sekurang-kurangnya bunyi pukulan ombak ke pantai menjadi hiburan bagi manusia dengan alunan ritma dan rentak muzik semula jadi seperti yang didedahkan oleh Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin. Sementara ombak yang lebih tinggi pada banyak lokasi di atas muka bumi ini digunakan oleh manusia untuk berekreasi dengan sukan luncur air.
Senarai kegunaan angin yang boleh dimanfaatkan oleh manusia ini tidak akan habis-habis.
Angin Menghasilkan Hujan

Dalam al-Quran Allah SWT memberitahu bahawa hujan dijadikan daripada angin. Firman-Nya yang bermaksud: “Tidakkah kamu melihat bahawa Allah mengarak awan, kemudian mengumpulkan awan, kemudian mengumpulkan bahagian-bahagiannya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih, maka kelihatanlah olehmu hujan keluar dari celah-celahnya.” (Al-Nur 24: 43)
“Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan dan awan) dan Kami turunkan hujan dari langit lalu Kami beri minum kamu dengan air itu dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya.” (Al-Hijr 15: 22)
“Dialah yang mengirim angin, lalu angin itu menggerakkan awan dan Allah membentangkannya di langit menurut yang dikehendaki-Nya, dan menjadikan bergumpal-gumpal lalu kamu melihat hujan keluar dari celah-celahnya.” (Al-Rum 30: 48)

Awan adalah udara yang dipenuhi oleh wap air. Pembenihan awan berlaku secara semula jadi dengan pertindihan pelbagai arah awan atas peranan angin. Siapa yang mengarahkan angin untuk berbuat demikian? Namun awan yang tidak “dikahwinkan” oleh Allah tetap mampu menurunkan hujan jika ada usaha manusia seperti kepakaran teknologi dalam projek pembenihan awan.

Sedangkan haiwan pun dikahwinkan dengan “permanian beradas” untuk menghasilkan pembiakan. Malah tumbuh-tumbuhan pun memerlukan angin untuk dikahwinkan dengan cara debunga atau gamet jantan daripada stamen pokok jantan terbang ke pistil lalu masuk ke ovul atau ovari pokok betina.

Jadi, udara berperanan mengahwinkan dan membiakkan tumbuh-tumbuhan. Fungsi ini juga boleh disempurnakan oleh haiwan seperti lebah, burung, rama-rama dan serangga yang lain. Namun semua haiwan dan serangga tersebut masih memerlukan udara untuk terbang dan bernafas.

Hasil daripada perkahwinan tumbuh-tumbuhan ini keluarlah bunga dan buah yang memberi seribu manfaat kepada manusia.



Artikel ini telah disiarkan dalam Majalah Fardu Ain edisi ke-5