Anda sering berasa cemburu dengan kehidupan orang lain yang cemerlang dan gemilang? Ada kalanya anda berasa diri anda sangat malang. Down to earth. Anda tidak bermaya. Anda lemah. Dan akhirnya anda akan merebahkan kepala ke bantal dan memejamkan mata.
Anda rasa dengan berbuat demikian perasaan anda akan pulih. Nanti anda akan bangun dan mula bergerak. Namun setelah tidur beberapa jam anda bangun menjadi orang yang sama. Tidak bermotivasi, Lemah dan letih.
Mengapa jadi demikian?
Apakah Wang Segala-galanya?
Seringkali anda menyalahkan poket anda yang kosong. Anda menyalahkan keluarga anda yang miskin, sentiasa tidak punya wang untuk membiayai kehidupan anda.
Benarkah wang segala-galanya? Sedangkan semua bayi yang dilahirkan ke dunia ini tidak membawa bekalan wang dan emas daripada rahim ibunya.
Ah, kalau ibu dan bapa saya orang kaya bukankah lebih mudah? Beruntungnya hidup. Segala-galanya beres.
Betulkah?
Bukankah kita belajar daripada sejarah bahawa sebilangan besar daripada orang yang berjaya di dunia ini asalnya orang miskin. Rasulullah SAW sendiri anak miskin yang yatim piatu. Abraham Lincoln, Presiden Amerika yang pertama ialah anak seorang pekerja balak yang miskin.
Tan Sri Mokhtar Bukhari, orang Melayu yang paling kaya di Malaysia dewasa ini juga asalnya menjaga lembu dan menghantar pelita minyak tanah dari surau ke surau dalam bulan puasa!
Jadi betullah, bahawa wang bukan segala-galmanya. Anda tidak miskin. Yang miskin ialah jiwa anda!
Untuk jadi cemerlang anda mesti keluarkan diri anda daripada kepompong fikiran anda yang beku ini.
Mula bergerak daripada sekarang untuk membina kehidupan yang lebih gemilang.
Pelajar
Jika anda seorang pelajar, fokus kepada pelajaran. Tumpu kepada kuliah dan kerja assigmment yang perlu anda siapkan. Berjumpa guru dan bertanya apa-apa yang anda kurang faham.
Tinggalkan kerja-kerja yang tidak berfaedah dan yang tidak membawa keuntungan kepada masa depan anda sebagai seorang pelajar. Pastikan tahun ini anda akan lulus peperiksaan dengan cemerlang. Itu langkah pertama anda ke arah kegemilangan.
Pekarja
Jika anda pekerja di pejabat, pastikan anda menumpukan kepada pekerjaan dan kerjaya anda. Fahami apa yang majikan anda mahu. Kerah minda anda lebih untuk menghasilkan keputusan yang memihak kepada anda. Bekerja dengan bijak. Jangan menyeleweng melakukan kerja-kerja yang tidak mendatangkan manfaat kepada kehidupan dan kerjaya anda.
Sabar Dengan Kesusahan
Hari tidak selalunya mendung, Matahari akan bersinar dengan terangnya. Hidup anda akan berubah.
Minta bantuan kawan-kawan. Minta idea yang bernas. Lihat orang yang telah berjaya. Ikut jejak langkah mereka kerana mengikur jekak langkah orang yang telah berjaya ini lebih mudah daripada mahu merintis jalan sendiri.
Merintis jalan sendiri susah kerana anda terpaksa menebas belukar dan hutan berduri, Namun kalau anda berjaya, habuannya lebih besar. Memang orang berjiwa besar perlu berani merintis jalan baru.
Golf dan Cemerlang?
Semalam saya menerima SMS daripada seorang sahabat baik bersungguh-sungguh mengajak saya bermain golf! SMS dituruti dengan panggilan daripada P/A-nya. Phew! Golf - tanda orang cemerlang, sekurang-kurangnya cemerlang dalam satu aspek. Betapa tidak, fikir saya? Namun saya membalas dengan baik mengatakan saya tak berapa sihat. Kebetulan saya sudah empat hari demam.
Tunggulah dia akan memburu saya apabila saya sihat nanti. Tapi, kenapa dia mengajak saya? Apakah dia fikir saya sudah begitu cemerlang hingga layak turun ke padang bermain golf?
Atau saya harus ajak beliau mengikut saya mendaki gunung, menyusuri taman negara, memijak puing-puing tsunami di Aceh atau turun ke sawah di Vietnam? Mungkin saya mencari kegemilangan dalam erti kata saya sendiri.
Al-Jannatul 'Ajilah
Apa kegemilangan yang anda ingin cipta? Kegemilangan ialah pencapaian terbaik dalam sesuatu bidang yang anda ceburi. Anda berusaha untuk membuat yang terbaik selagi mampu. Dan dalam usaha menggapai yang terbaik anda harus menggunakan strategi, langkah, kebijaksanaan dan ketangkasan tanpa memijak orang lain. Tanpa fitnah, adu domba, menipu, mencuri, memeras, dengki, sakit hati dan menafikan hak orang lain untuk sama-sama mencipta kecemerlangan.
Kita ingin melihat kalau boleh biarlah seluruh muka bumi ini penuh denga kecemerlangan, kemakmuran dan aman damai. Semua orang cemerlang dan maju. Tidak ada insan yang tertindas dan ditindas. Barulah bumi ini terasa indah didiami. Semua orang mahu merasa syurga yang dipercepatklan (al-jannatul 'ajilah) sebelum mendiamai syurga yang kekal abadi di akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan