Mandur ialah ketua yang mengawasi orang bekerja. Kalau dulu, pekerja buruh di estet getah atau membina jalan raya perlu ada mandur. Kalau mandur hilang, pekerja pun curi tulang. Orang yang bekerja memerlukan mandur ini bekerja "seperti pahat dengan pemukul." Sekali diketuk, sekali bergerak. Kalau tidak diketuk, tidak bergerak.
Kenapa orang bekerja memerlukan mandur?
1. Dia tidak ada inisiatif sendiri.
2. Dia bekerja makan gaji.
3. Dia tidak mahu berfikir atau menggerakkan mindanya.
4. Dia tidak mahu meningkatkan diri dan kerjayanya.
5. Dia tidak ikhlas bekerja.
Orang yang bekerja memerlukan mandur tidak boleh maju. Bila ada mandur dia rajin bekerja atau berpura-pura bekerja. Bila tidak ada mandur dia rehat. Kadang-kadang masanya habis semata-mata untuk mengintai di mana mandur?
Kalau kita hendak maju, kita hendaklah bekerja tanpa dimanduri. Ada atau tidak ada mandur tidak memberi kesan ke atas dirinya. Dia bekerja kerana Allah, ikhlas. Apa orang lain kata tidak penting buat dirinya. Apa orang lain kata tidak mengurangkan nilai dirinya dan tidak pula menambah nilai dirinya.
Kelebihan bekerja tanpa mandur?
1. Idea kita bebas bercambah.
2. Kita bekerja tanpa tekanan.
3. Kita membina kemahiran diri sendiri.
4. Menguntungkan semua pihak.
5. Melatih diri untuk menjadi bos atau ketua sendiri.
Antara orang yang bekerja perlu dimanduri dengan orang yang bekerja sendiri ada pula "kaki kipas" atau "kaki bodek". Ini ialah orang yang bekerja untuk mengambil perhatian ketua. Biar ketua tahu dia buat kerja.
Orang kaki kipas ini kadang-kadang boleh meningkat maju apabila ketuanya maju. Tetapi apabila ketuanya jatuh dia akan tersungkur sama. Dia tidak ada kekuatan sendiri. Dia menumpang kekuatan ketua. Kaki-kaki bodek kadang-kadang diperlukan oleh ketua untuk meyakinkan diri dan pemberi semangat.
Satu kesalahan kaki kipas ialah dia kadang-kadang memijak kepala orang lain untuk naik ke atas. Kaki bodek juga bermuka-muka seperti "talam dua muka". Dengan bos dia cakap lain. Dengan orang dia cakap lain.
Kenapa kita tidak baik jadi kaki kipas?
1. Nanti anak kita juga jadi kaki kipas kerana belajar daripada bapanya.
2. Nanti perasaan bersalah mengganggu ketenteraman hati kita.
3. Kita tidak melaporkan perkara yang genuine (benar).
4. Ada orang yang akan teraniaya.
5. Orang bawahan kita akan berpuak-puak.
Kita kena ingat bahawa pekerjaan kita membentuk hati nurani dan budi pekerti kita. Ia membentuk roh dan diri kita. Jadi, kalau diri kita telah terbiasa kerja bermandur atau bekerja mengipas orang lain, nanti keseluruhan kehidupan kita dicorak oleh persepsi yang sama. Alangkah ruginya kehidupan kita!
Kariman dan Katibin
Islam mengajar kita bahawa Allah menghantar dua orang malaikat bernama Kariman dan Katibun yang duduk di atas bahu kanan dan kiri kita. Malaikat ini mencatat semua perbuatan baik dan buruk kita. Malaikat tidak tidur, rehat atau lalai. Merekalah mandur sebenarnya.
Semuanya ditulis di dalam buku catatan amalan. Apabila cukup tahun buku ini akan diangkat ke Hadrat Allah SWT dan diganti dengan buku baru. Itulah ketikanya kita membaca doa akhir dan doa awal tahun.
Tahukah anda bahawa di akhirat nanti, buku ini akan dibuka dan dibacakan di hadapan kita untuk dipertanggung jawabkan? Bagaimana amalan yang begitu banyak boleh dicatat, disimpan dan ditayangkan kembali pada suatu masa yang sangat lama ke hadapan?
Ia tidak ubah sesuatu dokumen yang pada masa lalu dicatat di atas kertas atau buku, tetapi hari ini hanya perlu di simpan dalam pen drive yang kecil. Dan pen drive hari ini bertambah kecil tetapi boleh menyimpan lebih banyak maklumat. Pen drive Kariman dan Katibin sudah tentu lebih kecil dan lebih canggih!
Beriman dengan hakikat senario ini akan membuatkan kita boleh bekerja atau belajar sendiri tanpa ada mandur atau tanpa disuruh arah oleh guru atau ibu bapa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan