Aku telah mengenal dunia penulisan ketika berusia tiga tahun. Guru pertama aku ialah abah. Abah seorang penoreh getah. Dia bekerja di sebuah estet Cina, Tong Hoe Rubber Estate.
Yang aku peliknya walaupun abah seorang penoreh getah dia sentiasa menyelitkan sebatang pen dan sebuah buku kecil di poket bajunya. Wajib. Pada kulit buku tulis itu tertera"555" atau dipanggil buku "tiga lima."
Sebatang Pen Parker
Yang istimewanya ialah tentang pen abah. Jenis Parker berdakwat (dipanggil fountain pen) berwarna hijau tua bermata emas hadiah ketika beliau bersara daripada perkhidmatan Special Constable (SC), semacam polis sekarang. Abah sentisa mencatat sesuatu yang tidak aku fahami ketika itu. Kemudian baharu aku tahu rupa-rupanya beliau mencacat 3 perkara:
1. Berapa kilo pendapatan susu getah hariannya.
2. Hutang yang dia ambil barang makanan di kedai Chop Tong Lee (kami panggil kedai 'babi') di Pekan Lubuk China.
3. Bilangan pokok getah yang abah ambil upah part time 'kahwinkan' di serata daerah Rembau kerana abah mempunyai kemahiran mengahwinkan pokok.
Tulisan abah cantik - tulisan rangkai yang kemas. Anak-anak sekarang tidak kenal lagi akan tulisan rangkai ini.
Takjub dengan tabiat abah yang istiqamah ini aku mencuri-curi melihat pennya ketika dia tidur waktu tengahari selepas pulang daripada menoreh. Phew! Nikmatnya dapat menulis dengan pen dakwat ketika anak-anak lain cuma diberi pensil 'kontot' - gelaran pensil pendek yang tidak digunakan lagi. Pensel pendek ini kadang-kadang disambung dengan buluh halus supaya boleh dipegang dan pensel boleh diasah hingga ke pangkal (kes jimat cermat melampau lah ni).
Media Tulisan Awalku
Aku mencari pelbagai media untuk menulis menggunakan pen Parker abah antaranya:
1. Belakang kotak rokok abah cap "Rough Rider" yang dipanggil "rokok tembak" kerana gambar koboi di atas kuda sedang menembak.
2. Karung kertas bekas bungkusan beras dan tepung.
3. Muka kosong buku teks - "end book".
Paling aku gembira melihat abah mengisi dakwat ke dalam pennya. Dakwat kesukaan abah ialah "blue black Parker Ink" yang ketika itu berharga 50 sen. Anak-anak sekarang pandai menggunakan pen instant sahaja.
Dengan hobi haram (mencuri guna pen Parker) ini aku cepat pandai menulis, mengeja dan membaca. Pak Lang Endek (adik emak) sering mengajar aku mengeja. Seingat aku, ketika masuk mendaftar darjah satu (ketika itu tidak ada tadika), ketika budak-budak lain baru belajar memegang pensil, aku sudah mahir membaca surat khabar.
Sayang nyawa pen Parker abah tak tahan lama. Mula-mula kerana ditekan dengan kuat (sifat kanak-kanak menulis), mata pen itu bengkok. Apa lagi aku pun menjadi pomen. Oleh kerana kerapkali "dititik" dengan tukul besi dan anak lesung batu, mata pen itu tidak boleh digunakan lagi. Walau pun abah tahu aku yang mengerjakannya, abah tetap sabar, walau pun kadang-kadang suaranya naik bak halilintar.
Aku menulis dan menulis. Sampai sekarang jari kelingking tangan kananku bengkok kerana jari itu lebih banyak bengkok (ketika menulis) daripada lurus ketika aku kecil. Percaya atau tidak?
Novel Pertama
Ketika darjah tiga aku telah menghasilkan novel pertamaku bertajuk "Rumah Berhantu". Tulisan tangan dengan dakwat dalam buku tulis 40 muka surat. Novel itu dibeli oleh kawanku dengan harga RM1.50.
Ketika darjah tiga juga aku mula melukis kad hari raya menggunakan water colour dan pen kaligrafi yang diperbuat daripada batang resam dan menggunakan dakwat hitam Cina. Aku sendiri masuk ke dalam belukar di belakang rumah mencari batang pokok resam yang tua dan keras untuk dibuat pen kaligrafi.
Datuk Lat
Selain menulis, dari kecil juga aku sudah melukis. Waktu aku darjah tiga juga aku membeli buku pertama sebuah komik bertajuk "Tiga Sekawan" hasil karya Lat (sekarang Datuk) yang terkenal dengan komik "The Kampung Boy". Buku ini juga merupakan karya pertama Datuk Lat.
Kad Hari Raya aku dihiasi dengan beberapa rangkap pantun karanganku sendiri kerana aku juga pandai mengarang pantun sejak kecil. Akhirnya aku menghasilkan puluhan keping kad Hari Raya dan menjualnya kepada kawan-kawan yang ingin membelinya.
Empat rangkap pantun karanganku bertajuk "Cita-citaku" tersiar di dalam rancangan Radio Singapura ketika aku darjah empat. Ketika itu Radio Singapura sangat popular di Malaysia terutama rancangan "Drama Dalam Syair" yang ditulis oleh penulis drama terkenal - Jahlelawati.
Ketika aku darjah empat juga karyaku pertama kali tersiar di dalam akhbar Berita Harian dengan tajuk "Asal sejarah Lubuk China." Selepas itu aku terus menulis setiap bulan antaranya dalam majalah "Dewan Pelajar", "Utusan Pelajar", "Bujal", beberapa buah majalah terbitan syarikat Suarasa milik Tajuk Arifin Abdul Rahman yang apabila meningkat dewasa aku sempat berkawan dengannya dan beberapa majalah yang aku sudah lupa namanya kerana tidak lagi diterbitkan.
Penyaer Lumpuh Baferi Salim
Seorang abang angkat sekampungku bernama Baferi Salim yang empat tahun lebih tua daripadaku membimbing aku menulis terutama ketika kami mengadakan perkemahan dengan menaiki basikal ke pantai Teluk Kemang, Port Dickson. Abang Baferi seorang pelajar cemerlang dan menjadi head boy sekolah kami.
Akhirnya Abang Baferi menjadi penyaer terkenal. Nasib tidak menyebelahinya apabila dia terlibat dengan kemalangan apabila motosikal berkuasa besarnya melanggar belakang sebuah lori ketika dia di tahun dua Fakulti Sastera Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur. Abang Baferi lumpuh seumur hidup dan meninggal ketika berusia 40 tahun.
Abang Baferi juga yang menggalakkan aku membaca dan menghadiahkan majalah Reader's Digest dan lain-lain buku kepada aku. Dia memang "Raja Buku" dan terus menjadi idola aku. Dia membimbing aku menulis cerpen dan membaikinya. Namun aku lebih cenderung menulis rencana.
Dapat Royalti Ketika Darjah Enam
Ketika darjah enam, aku mendapat bimbingan menulis daripada cikgu kesayanganku, Cikgu Kasim Ismail. Rencana bersiri aku tentang kehidupan serangga tersiar hampir setahun dalam majalah Mastika. Aku mendapat bayaran RM25 bagi setiap rencana yang tersiar. Cek disampaikan di sekolah oleh guru besar di hadapan perhimpunan. Semua duit royalti itu aku beri pada emak.
Semasa dalam tingkatan satu aku pernah memenangi pertandingan mengarang peringkat dewasa seluruh daerah Rembau. Hadiah disampaikan oleh wakil rakyat. Ketika dalam tingkatan dua aku sudah memenangi beberapa pertandingan mengarang dan juga pertandingan melukis peringkat kebangsaan.
Ketua Editor Ketika Tingkatan Tiga
Ketika aku dalam tingkatan tiga aku sudah menjadi Ketua Editor majalah Sekolah Menengah Datuk Abdullah, Astana Raja, Kota, Negeri Sembilan. Guru yang banyak berjasa membimbing aku dalam bidang penulisan dan juga bidang lukisan di peringkat menengah ialah Arwah Cikgu Yaacob Idrus.
Hasil didikan beliau aku berupaya menyiapkan seorang diri dua buah lukisan mural dinding yang besar di Sekolah Menengah Datuk Abdullah. Baru-baru ini aku berkunjung ke bekas sekolahku itu dan aku dapati sebahagian daripada salah sebuah lukisan mural tersebut masih utuh di dinding setelah 40 tahun!
subhanallah, hebatnya....
BalasPadambestnye bace kisah ustaz
BalasPadamHrysobah & Tanpa Nama: Saya kembalikan kepada kekuasaan Allah SWT yang mentadbir hidup kita. Kita cuma berusaha, Dia yang menganugerah kejayaan.
BalasPadam