Khamis, 17 Disember 2009

TELITI DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH






Foto: Ketika saya memberi training, saya menerapkan konsep ketelitian dan kesungguhan. Saya ajar peserta supaya duduk betul-betul, lengkapkan alat belajar, dengar bersungguh-sungguh, buat catatan (peta minda) dan timbukan persoalan (kritik) apa sahaja bahan yang saya sampaikan supaya sikap sambil lewa itu lama kelamanan hilang daripada dalam diri kita.

Saya rasa pelik kenapa ramai orang tidak melakukan sesuatu kerja dengan teliti dan bersungguh-sungguh. Selalu ambil ringan dan sambil lewa. Tidakkah anda bertanya hati kecil sendiri sama ada anda berpuas hati atau tidak dengan kerja yang sedang anda lakukan?

Bila saya menulis saya akan lalui 4 tahap:


Tahap pertama: Taip semua idea kasar, lepas sahaja apa yang terlintas dalam fikiran.
Tahap kedua: Susun ikut kronologi A hingga Z. Tambah di tempat yang perlu. Buang yang tidak perlu (proses ini dipanggil "kill your darling"). Buat rujukan daripada sumber lain jika perlu.
Tahap ketiga: Edit dari awal supaya flow nampak rasional, cantik dan licin.
Tahap keempat: Betulkan ejaan, tanda baca, pola ayat, fakta, paragraf, dll.


Kalau anda hendak menghantar karya rencana atau skrip kepada akhbar, majalah atau syarikat penerbitan anda mesti melalui 4 tahap ini. Sudah pasti karya anda lebih mudah untuk dipertimbangkan.


Jadi jangan hantar kepada saya rencana atau skrip yang setengah masak. Kalau saya terpaksa juga mengedit skrip setengah masak ini, saya jadi letih. Saya berkata pada diri, "Daripada mengedit lebih baik saya mengendalikan sebuah kelas editing. Semua yang tak pandai tulis skrip ini datang menghadiri kelas saya."


Semua editor saya tahu yang saya tidak mahu satu titik pun salah dalam buku yang saya terbitkan. Itu yang kadang-kadang membuat saya menjerit. Ramai orang yang ambil hati kata saya pemarah. Saya tidak marah, cuma tidak faham kenapa ramai orang tak mahu bekerja susah sikit untuk melakukan kerja dengan sempurna.






Foto: Majlis ANUGERAH MEDIA ISLAM NEGARA (AMIN) di Putrajaya International Convention Centre (PICC) baru-baru bersama Ustaz Rohidzir Rais, penulis siri Harun Yahya dan kolumnis Sains Islam dalam majalah Solusi. Saya sedang mengedit karya terbaru beliau ENSIKLOPEDIA SOLAT terbitan Telaga Biru. Tanpa ketelitian dan kesungguhan tak mungkin karya besar seperti itu akan terbit.



Dulu masa kecil arwah bapa ajar saya bagaimana mengasah pensil. Mengasah pensel pun mesti melalui 4 tahap:


Tahap pertama: Pisau pengasah mesti tajam walaupun pisau siang sayur (zaman itu).
Tahap kedua: Asahnya mesti panjang, bukan kontot sahaja seperti kemaluan kera (maaf) - istilah bapa.
Tahap ketiga: Mata penselnya mesti tajam.
Tahap keempat: Selepas diasah mesti diserasikan pada kertas conteng sebelum digunakan.


Anda lihat pensel atau pensel warna anak atau adik anda hari ini. Ya, mungkin mereka tidak pakai pengasah lagi. Beli dan buang sahaja pensel tekan atau pensel mekanikal. Sebab itu anak zaman sekarang tidak teliti.


Masa kecil juga emak ajar saya bagimana menjemur kain selepas dibasuh. Pun melalui 4 tahap:


Tahap pertama: Perah dulu setiap pakaian hingga kering.
Tahap kedua: Dikebas untuk meringankan atau membebaskan pakaian itu daripada saki baki air. Lagi besar dan berat pakaian itu, lagi susah untuk mengebasnya.
Tahap ketiga: Diampai pada ampaian ikut susunan jenis dan sais pakaian. Kalau kain sama kain, baju sama baju, seluar sama seluar. Selindungi pakaian dalam yang memalukan.
Tahap keempat: Jangan ampai belapis-lapis menyebabkan pakaian yang di sebelah bawah tidak kering. Pastikan pakaian itu terkena cahaya matahari.






Foto: Ini foto terbaru, 2 hari lepas di perkarangan Masjid Jamek Jerantut, Pahang. Saya melatih anak-anak (Muhammad Ammar Yassar, 15 - kiri dan Muhammad Salman al-Farisi, 18 - kanan) buat assignment fotografi, mengatur perjalanan sambil membaca peta untuk mudik hulu Sungai Tembeling di Taman Negara. Jadi siapa yang snap foto ini? - si Bongsu, Ummu Jannah.

Seingat saya, emak tak ajar semua. Saya yang fikir sendiri.


Anda lihat bagaimana anak atau adik anda menjemur pakaian. Kadang-kadang bergumpal-gumpal sahaja. Apabila kering pakaian jadi keras! Kadang-kadang bertindih-tindih. Bila diangkat masih lembab! Sebab apa? Sebab malas nak pasang tali ampaian baru. Ambil senang, tindih-tindihkan sahaja!


Bukan itu sahaja. Antara ketelitian lain yang saya belajar ketika kecil ialah:


  • Apabila menggali ubi kayu menggunakan cangkul, jangan pakai hentam sahaja, nanti terkena isinya atau isi ubi tertinggal dalam tanah.
  • Apabila membubuh kapur kasut putih, sapu dengan teliti seperti sedang melukis di atas kertas kerana kapur kasut ketika itu berketul seperti pensel warna.
  • Apabila menolong emak menumbuk padi di dalam lesung mesti berhati-hati supaya padi tidak tumpah dan kulit padi cepat tanggal.
  • Apabila mencangkul tanah membuang lalang untuk tanam sayur, pastikan tiada ubi lalang yang tertinggal di dalam tanah. Kutip dan buang habis-habis. Kalau tidak nanti lalang tumbuh semula.
  • Anda jangan terkejut, saya juga belajar memotong sayur, memotong daging dan menyiang ikan daripada emak.
  • Anda jangan terperanjat saya boleh menganyam ketupat hingga hari ini.
Jadi hingga sekarang apabila melakukan sesuatu pekerjaan saya sudah terbiasa untuk melakukan yang terbaik, teliti dan bersungguh-sungguh. Biarlah lambat sedikit asalkan sempurna. Biarlah susah sedikit kerana hasilnya manis.

Tujuh benda ajaib di dunia kekal hingga hari ini kerana dibina dengan sungguh-sungguh, teliti dan susah payah seperti Tembok Besar Negeri China, piramid dan Taman Tergantung Babylon.

Ah! Sedangkan ibadah yang diterima oleh Allah SWT hanya ibadah yang ikhlas, khusyuk dan dilakukan bersungguh-sungguh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan