Rabu, 23 Disember 2009

BAGAIMANA MEMBERI YANG TERBAIK

Foto: Ini senario hutan dan sungai ikan Kelah di Lubok Lesong berhampiran Lata Berkoh di Sungai Tahan, Taman Negara. (Bahan untuk kolum KEMBARA saya dalam majalah Solusi). Allah SWT selalu memberi yang terbaik kepada umatnya. Apa alasan kita untuk tidak memberi yahg terbaik kepada orang lain?


Foto: Kehijauan juga. Ini Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah Musleh termasuk peserta dari Indonesia dan Thailand di Kem Wood, Ulu Yam Baru, Selangor baru-baru ini. Didiklah anak anda untuk memberi yang terbaik sejak kecil. (Ihsan: Muhammad Salman al-Farisi, berdiri 3 dari kiri)


Kita akan dapat berasa sangat berpuas hati jika dapat memuaskan hati orang lain. Orang yang dimaksudkan ialah orang yang terhampir dengan diri kita seperti ibu bapa kita, isteri, suami, anak-anak, anak didik, jiran, sahabat rapat dan guru kita.

Bagaimana kita memuaskan hati orang lain?

Bila memberi, berilah yang terbaik. Beri dengan ikhlas. Jangan ungkit atau tuntut perkara yang telah kita beri kepada orang lain. Allah SWT akan menggantinya dengan perkara yang sama berlipat kali ganda banyaknya.

Jangan fikir apa yang tinggal untuk diri kita, fikir apa yang mereka perlukan. Jadilah seperti Sayidina Abu Bakar al-Siddiq yang mengorbankan seluruh hartanya untuk perjuangan Islam.

Apabila Rasulullah SAW bertanya, "Apa lagi yang engkau ada wahai Abu Bakar?"

Beliau menjawab, " Saya masih ada lagi Allah dan Rasul."

Untuk orang yang rapat dengan kita atau yang kita kasihi yang kita beri sesuatu:
  • Bila bercakap, cakaplah dengan jelas dan pandang mukanya. Jangan bercakap sambil lewa. Jangan sekali-kali berbohong atau menyembunyikan sesuatu yang mereka harus tahu.
  • Sentiasalah mendampingi suami, isteri, anak-anak dan ibu bapa kita.
  • Cuba penuhi permintaan mereka walaupun kita tidak mempunyai cukup. Allah akan memberi rezeki yang lebih banyak jika kita gunakan rezeki yang Allah bagi ini ke jalan yang betul.
  • Jangan sakitkan hati mereka.
  • Jangan sindir mereka dengan perkataan.
  • Jangan bandingkan mereka dengan orang lain terutama orang yang menjadi saingan mereka.
  • Jangan mengungkit kebajikan yang telah kita berikan kepada mereka.


Foto: Apabila anda memberi nasihat, mengajar atau mengendalikan progran latihan seperti ini, berilah yang terbaik untuk peserta. Pastikan kalau anda bercakap selama 30 minit, anda telah menyampaikan paling kurang 6 perkara (points) yang mereka boleh ingat. Dan 6 perkara ini dicatat dalam buku nota dalam bentuk peta minda. Kalau anda memberi latihan selama 1 1/2 jam pastikan anda melaksanakan paling kurang 3 aktiviti yang berlainan.

Jika sahabat atau jiran anda minta nasihat:
  • Beri nasihat yang terbaik.
  • Beri lebih daripada yang mereka minta.
  • Jangan sembunyikan rahsia kejayaan kita, biar mereka juga berjaya atau biar mereka lebih berjaya daripada diri kita sendiri.
  • Ikhlas.
  • Jangan mengecilkan kebolehan mereka.
  • Jangan menghina mereka.
Saya ada seorang staf yang setiap pagi akan masuk ke bilik saya, bersalaman dengan saya dan meminta nasihat.

Saya bukanlah mempunyai kata-kata hikmah yang begitu ajaib dan magik untuk saya jampikan atau hembuskan ke mukanya, namun riak mukanya, senyumannya, eratnya genggaman salamnya dan "body language" perasaan puas hatinya apabila keluar daripada bilik saya membuat dia menjadi seorang staf yang paling cepat menapak naik tangga kecemerlangan dalam syarikat!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan