Isnin, 28 Disember 2009

BAGAIMANA BEKERJA KETIKA REHAT

Foto: Saya di perkarangan Masjid Jamek Ho Chi Minh City, Vietnam pada Hari Raya Haji 1430H yang lepas. Nampak macam berehat tapi saya pergi melaksanakan 2 kerja: 1. Menyempurnakan ibadah korban. 2. Mengumpul gambar untuk buku "WAJAH MASJID DI ASIA TENGGARA"


Orang selalu mengaitkan bekerja dengan letih. Maksudnya orang yang bekerja akan berasa letih. Orang yang berehat tidak letih. Orang juga mengaitkan bekerja dengan wang. Maksudnya orang yang bekerja dapat wang. Atau orang yang tidak bekerja tidak dapat wang. Ada juga orang yang mengaitkan bekerja dengan:

  • Terpaksa memakai pakaian seragam atau pakaian kerja.
  • Terpaksa pergi ke pejabat.
  • Ada waktu yang ditetapkan.
  • Ada majikan.
  • Dapat gaji hujung bulan.
  • Kalau tak nak bekerja mesti ambil cuti atau MC.


Foto: Di kampung pedalaman di Vietnam saya menaiki motosikal untuk menziarahi rumah umat Islam yang terpencil. Ini bersama adik Zainab, 11 tahun. Kami berkomunikasi cuma menggunakan bahasa isyarat.

Ada orang yang mengiktiraf bekerja sendiri itu bukan bekerja. "Makan gaji baru bekerja, "kata mereka.

Kita boleh berehat, tapi jangan kaitkan rehat dengan duduk bersandar di kerusi malas atau bergolek-golek di atas katil. Kalau anda lakukan dua pekerjaan di atas namun minda anda runsing, kesihatan anda tidak baik, banyak kerja yang belum diselesaikan, bilik di tempat tersebut panas atau tepu dengan wap - hakikatnya anda tidak berehat. Jasad anda menderita dan tersiksa. Minda anda bercelaru. Anda akan bertambah letih dan lesu.

Sebaliknya jika anda bekerja tetapi anda dapat mengendalikan diri anda dengan baik, fikiran anda tenang, semua kerja tersusun dengan baik dan mampu anda selesaikan dengan jayanya - pada hakikatnya anda sedang berehat. Kalau di pejabat anda bekerja dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, anda boleh keluar dari pintu pejabat dengan senyum. Anda bersedia untuk masuk ke "pejabat kedua" dalam masa setengah jam.


Foto: Setelah setahun bekerja keras kami di syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd. mengadakan Hari Keluarga ini di pantai Batu Hitam, Kuantan. Anda kata ini rehat? Ya, memang rehat tapi saya dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi (duduk kanan sekali) memberi 2 slot kuliah "Kepemimpinan" dan "Psikologi."


Pejabat kedua ini tidak semestinya sebuah syarikat lain. Mungkin anda mula mengarang di rumah. Atau mula berkebun, mengecat pagar, memotong rumput, ke bengkel kereta, ke perpustakaan, ke kedai buku, bertemu janji dengan kawan di warung mamak atas sesuatu hal atau projek, ber-MLM, melayari Internet dan seribu satu macam aktiviti lagi.

Kalau kaum wanita mungkin mereka akan menjahit, menyulam, mengarang, shopping, mesyuarat NGO, parti MLM, usrah dengan anak-anak, menghantar sesuatu yang dipesan kepada pelanggan, mengurus rumah tangga dan seribu satu macam aktiviti lagi.

Bukankah semua aktiviti yang saya senaraikan di atas menjana kewangan. Sekurang-kurangnya menjadi sumber pendapatan kedua atau ketiga bagi anda. Atau menjimatkan perbelanjaan dengan tidak payah mengupah orang lain membuatnya. Dan semua itu anda lakukan di luar waktu pejabat, lokasinya di luar pejabat. Tiada mandor atau majikan yang mengarahkan. Anda lakukan dalam rehat, tidak tertekan. Itulah yang dimaksudkan anda bekerja dalam rehat.

Ada satu lagi situasi anda bekerja dalam rehat:

Anda bekerja mengikut waktu yang telah ditetapkan kepada anda misalnya daripada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Rahsianya, hendaklah anda elakkan daripada berasa penat. Hanya orang yang berasa penat sahaja yang perlu rehat seperti pekerja binaan, pekerja buruh dan pekerja ladang. Kalau anda tidak penat anda tidak perlu berehat.

Bagaimana mengelakkan rasa penat:

  • Sukai pekerjaan anda sepenuh hati.
  • Bangunkan kerjaya anda kepada skop yang lebih luas atau lebih tinggi.
  • Bersedia dengan bekalan tenaga fizikal yang mencukupi seperti makanan yang berzat terutama jika anda terlibat dengan kerja kasar dan berat.
  • Seimbangkan masa berkomunikasi dengan mesin dan berkomunikasi dengan manusia. Berkomunikasi dengan mesin meletihkan tetapi berkomunikasi dengan manusia menyegarkan.
  • Kalau anda rasa sebaliknya (lemah berkomunikasi dengan manusia dan segar berkomunikasi dengan mesin) bermakna anda telah menjadi terlalu robotik. Anda bukanlah seorang yang produktif tetapi seorang yang robotik yang memerlukan seorang tuan atau majikan.
  • Ruang kerja anda mesti mempunyai bekalan oksigen yang segar.
  • Bekerja dalam ruang yang luas.
  • Sedia dua kerja yang berasingan: Kerja utama dan kerja sokongan. Apabila anda letih dengan kerja utama, berpindahkan kepada kerja sokongan. Anda akan segar semula.
  • Kerja yang menggunakan kekuatan minda memerlukan bekalan oksigen segar dan makanan yang berzat.
Bagaimana mengelakkan tekanan dalam kerja:

  • Rancang kerja dengan teratur.
  • Beritahu bos apa skop kerja anda. Yang penting sentiasa berkomunikasi dengan bos.
  • Beritahu superior anda jika berlaku tambahan kerja yang mendadak. Kalau ini berlaku susun semula penjadualan dan pelaksanaan kerja baru.
  • Jangan rasa bersalah atau kecewa jika tidak sampai target. Bawa kepada keesokan harinya.
  • Ketepikan perasaan negatif hati seperti cemburu, dengki, khianat, pemarah, berdendam dan sebagainya.
  • Jangan dengar kabar angin kecuali datang betul dari sumber yang sah dan disampaikan sendiri kepada anda. Imam Ghazali berkata, "Jika anda hendak menyepak orang yang menyebabkan anda susah, nescaya anda tidak dapat duduk seumur hidup."
  • Suarakan masalah, jangan dipendam.
  • Banyak berserah kepada Allah SWT setelah berusaha dengan gigih.
  • Ingat: Usaha anda tidak memberi bekas.
"Bekerja ketika rehat" ini sinonim dengan "Berehat ketika kerja." Ia juga dipanggil "work smart" - bekerja dengan bijak. Orang yang berjaya di dunia semuanya bekerja dengan bijak. Jangan tersilap tafsir, sudah tentu mereka bekerja keras. Lebih elok jika frasa ini berbunyi, "Bekerja keras dengan bijak."

Seorang menulis kepada seorang sahabat, yang juga bekas CEO kolej swasta saya dan bekas fasilitator program latihan saya, "Bila lagi anda mahu mengejutkan saya dengan sesuatu pencapaian yang luar biasa?"

Dia menjawab sambil mengeluh,"Tuan Haji, saya sudah bekerja keras. Apa lagi? Sampaikan isteri saya nak pergi ke pasar pun mesti buat appointment dengan saya!"

Saya memberi jaminan dengan menjawab, "Anda mempunyai potensi tinggi yang luar biasa. Cuma masa sahaja yang akan menyerlahkan anda. Anda masih muda."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan