Sabtu, 31 Oktober 2009

RAYUAN BERKORBAN DI VIETNAM DAN KEMBOJA

Foto: Ustaz Zainal Abidin (selendang hijau) sedang menyempurnakan ibadah korban sebanyak 8 ekor lembu bagi peserta korban yang kami bawa dari Malaysia di Maahad el-Muhajirin, Kampung Som, Kemboja pada tahun 1429H yang lepas.


27 November 2009 nanti (hari pertama raya Aidiladha) saya akan ke Vietnam mengetuai Misi Kemanusiaan dan Korban seramai 5 orang. Kami akan menyembelih korban di beberapa buah masjid di perkampungan umat Islam yang miskin dan daif di sekitar Bandar Ho Chi Min. Korban ini menyempurnakan hajat yang dikirim oleh sahabat-sahabat dan beberapa tokoh korporat di Malaysia.

Kami akan berada selama tiga hari di Vietnam. Kami akan menziarahi pondok-pondok dan sekolah agama di merata tempat. Dari Bandar Ho Chi Min kami akan menaiki bas selama setengah hari ke Phnom Penh di Kemboja selepas melintasi sempadan. Di Phnom Penh kami akan menyembelih korban pada hari terakhir Tasyrik (13 Zulhijjah) sebelum pulang ke Malaysia pada 1 Disember.

Foto: Misi Kemanusiaan Korban kami pada tahun 1428H menyambut solat sunat Aidil Adha di Masjid Batu 9, tepi Sungai Mekong, Phnom Penh, Kemboja. Ini jamuan selepas solat di perkarangan masjid.


Saudara/i yang berkeinginan untuk melakukan ibadah korban di dua buah negara miskin di mana umat Islam meniti hari-hari keperitan menyambung kehidupan dan survival agama serta akidah itu bolehlah berhubung dengan saya sebelum saya bertolak.

Saya mengesyorkan juga kepada AJK masjid dan surau di Malaysia jika berhajat mengirim sebahagian korban ke Vietnam dan Kemboja memandangkan umat Islam di sana lebih memerlukan daging korban daripada kita di Malaysia.

Saya amat sedih mendapat berita ada masjid dan surau negara kita yang membuang daging korban yang telah busuk dengan mengorek lubang menggunakan jengkaut kerana tidak mampu diedarkan kepada ahli kariah lantaran korban yang terlalu banyak sehingga 50-60 ekor bagi sebuah kariah masjid.

Ditambah pula ada ahli kariah yang enggan menerima daging korban yang dihantar ke rumah mereka oleh petugas masjid kerana menganggap mereka tidak layak memakan daging korban.

Hari raya Aidiladha tahun lepas 1429H, saya menyembelih korban sebanyak 8 ekor di Madrasah el-Muhajirin, Kg. Som, Kemboja yang disempurnakan oleh al-Fadil Ustaz Zainal Abidin. Setiap ekor lembu korban diserahkan kepada kariah masjid berhampiran yang membawa pulang daging yang belum berlapah dengan kereta kuda untuk dibahagi kepada beberapa surau di bawah kariah mereka. Surau itu pula akan membahagikan daging korban kepada setiap rumah.

Dan akhirnya sebuah rumah hanya mendapat habuan sebanyak 300 gm. daging korban untuk dimakan seramai oleh 8 - 10 orang ahli keluarga masing-masing. Dan inilah satu-satunya hari yang mereka dapat makan daging dalam setahun! Memang lebih afdallah kita berkorban di Vietnam dan Kemboja daripada di tanah air kita sendiri.

Foto: Ini Misi Kemanusiaan Korban kami melaksanakan ibadah korban pada tahun 1425H di Aceh Darusalam, Indonesia selepas peristiwa tsunami.


Saudara saudari dan AJK masjid dan surau yang ingin melaksanakan ibadah korban tahun ini boleh menghubungi saya atau SMS nama kepada 016-4028344 dan masukan ke dalam akaun CIMB 14160067926528. Satu bahagian korban lembu berharga RM 300 dan satu orang akikah kambing RM 500.

Semoga ibadah korban kita diterima Allah s.w.t. dan menjadi saksi di akhirat nanti, Ameen.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan