Pagi tadi jam 7.25 pagi saya bercakap tentang MINDA di TV3 bersama Ally Iskandar dan Fitri Yahya mengulas tentang buku terbaru saya yang ke-25 bertajuk RAHSIA MINDA HEBAT nukilan bersama Ustazah Dato' Siti Norbahyah Mahamood terbitan Telaga Biru.
Fitri memulakan pertanyaan, "Apakah peranan sumber makanan dalam menjana minda yang hebat?"
Saya menjawab, "Makanan memang memainkan peranan penting dalam pembinaan minda yang hebat tetapi banyak faktor lain yang lebih utama seperti motivasi diri, kekuatan kerohanian, membaca dan menghafal al-Quran, kesihatan fizikal, aktiviti riadah, ketenangan jiwa, pengamatan persekitaran dan kekuatan psikologi."
Ally Iskandar pula mencelah, "Banyak buku motivasi telah ditulis tentang minda. Ada yang berkesan dan ada yang tidak berkesan. Apakah buku Tuan Haji ini boleh dijadikan modul oleh semua pelajar dan semua orang?"
Saya menjelaskan, "Ada pelajar yang mempunyai cara tersendiri untuk menggarap ilmu pengetahuan hinggalah ada yang tidak perlu membaca buku motivasi langsung tetapi mencipta kejayaan dalam pembelajaran dan dalam pengurusan hidup.
"Bilangan mereka tidak ramai dan mereka ini tidak perlu membaca buku saya. Yang ramainya ialah yang sederhana dan yang lemah. Mereka inilah yang perlu membaca buku saya ini. Sampai kalau boleh dijadikan modul dan dibaca serta difahami dan diamalkan muka demi muka, bab demi bab hingga tamat.
"Ini dilakukan setiap hari, sepanjang masa. Dalam buku ini saya telah cuba merangka satu modul yang terbaik untuk panduan semua pelajar dan juga orang dewasa."
Fitri membuat telahan, "Ramai pelajar sekarang terlalu mengongkong minda mereka dengan capaian Internet. Apa pandangan Tuan Haji?"
Jawab saya, "Internet tidak salah. Segala alat canggih komunikasi, telekomunikasi, kamera dan sebagainya tidak salah. Yang salah ialah penggunaannya. Minda pelajar dan orang deawasa kita belum lagi sampai ke tahap menggunakan peralatan tersebut untuk manfaat, kemajuan, akhlak, ketamadunan dan peradaban manusia. Sebaliknya mereka menggunakan peralatan tersebut mengikut hawa nafsu dan fitrah mereka yang tidak terkawal."
Di akhir program saya menghadiahkan Ally dan Fitri sebuah buku seorang dan Fitri mengakui, "Saya bila dapat buku ini akan melakukan apa sahaja yang disebutkan di dalamnya kerana saya lihat ianya berbentuk manual yang sangat sesuai dan mudah dipraktikkan untuk memiliki minda hebat."
Sebelum berpisah Ally sempat bertanya, "Sekarang Tuan Haji tengah tulis buku apa?"
Sambil tersenyum saya menjawab, "BAGAIMANA MELAHIRKAN SEORANG JUARA?"
Tunggu kelahirannya. Anda ada input penting tentang "Juara" untuk saya? Tulislah kepada saya. Nanti saya akan masukkan ke dalam buku tersebut dan memberi kredit kepada anda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan