Rabu, 30 September 2009

MENGHANTAR IBU ATAU BAPA KE RUMAH ORANG TUA


Foto: Bersama ibu Temah binti Melah di Teratak Bonda di Kg. Titian Bintangor, Rembau, Negeri Sembilan menyambut hari jadi beliau yang ke-76 dalam bulan puasa baru-baru ini bersama adinda bongsu Dr. Norlaili yang akan berhijrah ke Australia mengikut suaminya dan anakanda Robiah yang mengaji di UiTM.


Hari ini saya akan bercakap dalam Berita Radio RTM tentang anak-anak yang sanggup menghantar ibu atau ayah mereka ke rumah orang tua. Apa sebenarnya yang berlaku?

Ibu atau bapa membawa diri ke rumah orang tua dengan memberi alasan bahawa mereka tidak mahu menyusahkan anak-anak. Betulkah?



Foto: Di manakah ayah anda sekarang? Apakah dia ada makanan tengah hari ini? Apakah tempat berlindungnya selesa dan selamat? Apakah dia ada pakaian untuk membaluti tubuh keringnya dari gigitan cuaca yang semakin hari semakin mengancam akhir-akhir ini? Gambar ini saya abadikan di Padang, Sumatera yang dilanda gempa bumi teruk petang semalam.

Sebenarnya tidak menyusahkan. Kalau waktu awal usia perkahwinan ibu bapa kita dulu mereka sanggup untuk menjaga 10 orang anak, kenapa hari ini 10 orang anak tidak sanggup untuk menjaga seorang ibu atau bapa?

Kalau ibu dan bapa yang telah tua dan uzur sekalipun, juga tidak akan menyusahkan anak-anak. Kita boleh rawat mereka. Jika tidak mampu, gajikan pembantu yang boleh merawat mereka. Bukankah anda bekerja siang dan malam mengumpul wang? Untuk apa?

Ibu atau bapa lebih rela melarikan diri ke rumah orang tua kerana:

Mereka lebih selesa bersendiri untuk beribadah kerana merasakan masa muda mereka telah mengabaikan amal ibadah.

  • Anak-anak tidak meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan mereka.
  • Anak-anak terlampau membebankan mereka dengan kerja-kerja fizikal seperti menjaga cucu, membersihkan rumah, memasak, membasuh kain baju, berkebun, menjadi jaga atau pemandu atau sebagainya.
  • Masalah dengan menantu. Anda kena ingat, hak ibu dan bapa mentua adalah sama seperti hak ibu dan bapa sendiri.

Apakah peranan anak menantu?

  • Pujuk ibu atau bapa anda tinggal dengan anda.
  • Bincang dengan suami atau isteri untuk mempelawa ibu atau bapa anda tinggal di rumah anda.
  • Bertoleransi.
  • Banyak mengalah dengan ibu dan bapa.
  • Selami hobi dan kegemaran mereka.
  • Ubah suai jadual kita untuk memenuhi keperluan mereka.
  • Selalu berkomunikasi dengan mereka.
  • Jangan nampakkan kesusahan diri kita. Ibu bapa tak mahu melihat kita susah kerana mereka telah merasi kesusahan ketika membesarkan kita. Sebenarnya, inilah masanya kita pula susah untuk mereka.
  • Muliakan mereka.
  • Jangan meninggikan suara ke atas mereka.



Foto: Ibu yang telah lanjut usia sanggup berniaga di pasar untuk menyambung hayat. Di mana anak-anak yang telah dibesarkan sekian lama dahulu? Foto ini saya abadikan di pasar Kampar, Wilayah Riau, Sumatera.


Kesimpulannya, jagalah sendiri ibu dan bapa anda. Jangan hantar mereka ke rumah orang tua. Jika ajalnya sampai biarlah mereka meninggal di rumah anda sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan