Rabu, 12 Ogos 2009

HANTAR ANAK KE SEKOLAH ASRAMA PENUH?

Foto: Nik Nur Madihah (20A SPM 2008) di Bank Negara bersama gabenor Tan Sri Zetty Aziz. Beliau bersekolah harian dan tidak pernah duduk di asrama.


Selepas memberi latihan di SMK Shahbandaraya, Kelang minggu lepas seorang penjaga bertanya kepada saya, "Tuan Haji, mana lebih baik antara sekolah asrama penuh dengan sekolah harian?"

Saya kata:

Sekolah asrama penuh baik untuk anak-anak yang sudah ada jati diri dan yang sudah pandai membawa hala tuju sendiri. Anak-anak yang belum boleh berdikari, elok belajar di sekolah harian supaya dapat diasuh dan dididik oleh ibu dan ayah di rumah.

Ini pun tertakluk ibu dan ayah dapat memperi perhatian penuh kepada mereka. Jika ibu dan ayah turut sibuk dengan kerjaya masing-masing, lebih baik anak belajar di sekolah berasrama penuh.

Ini bukan bermakna sekolah berasrama penuh tidak baik. Tetapi di sekolah berasrama penuh tidak ada ibu dan ayah yang memantau perkembangan psikologi dan emosi anak-anak, terutama selepas kelas ketika di asrama.

Tidak ada orang yang mampu menunjukarah anak-anak melakukan perkara remeh temeh seperti kebersihan, pakaian, soal perasaan, empati dan tata susila yang baik.

Dalam soal pembelajaran dan disiplin, kurikulum dan peraturan di sekolah berasrama penuh mungkin cukup baik. Tapi jangan cemburu kerana di sekolah harian pun kurikulum dan disiplin sudah ditingkatkan.

Sebab itu kebanyakan pelajar yang mencipta hatrik dengan pencapaian luar biasa adalah dari sekolah harian seperti Nur Amalina Che Bakri, 17A SPM 2004, Nadiah Amirah Jamil, 18A, SPM 2006, Siti Fatimah Mokhtar, 18A SPM 2006 dan Nik Nur Madihah Kamil, 20A, SPM 2008.

Foto: Kiri ialah anakanda saya Muhammad Suhail. Dia tidak ke asrama penuh masa tingkatan satu tetapi masuk Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban ketika tingkatan 4. Seterusnya dia masuk Kolej Matrikulasi Pulau Pinang dan USM. Sekarang menamatkan Mastersnya di USM. Pensyarahnya propose dia sambung PhD. Dia kata, "Tunggu dulu."




Saranan saya:

Anak yang mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh elok terima tawaran dan ubah suai diri untuk menjadi pelajar asrama. Anak yang tidak mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh harus meyakinkan diri bahawa mempunyai peluang yang sama untuk berjaya dengan cemerlang.

Saranan kepada ibu bapa:

Ambil perhatian berat terhadap anak-anak anda yang belajar di sekolah berasrama penuh. Selalulah ziarah mereka. Hantar makanan kepada mereka atau makan tengahari bersama mereka. Call mereka bertanyakan khabar. Tanya masalah mereka? Tanya siapa kawan mereka? Teliti perkembangan pembelajaran mereka. Apa keperluan mereka?


Foto: Nik Nur Madihah (tengah) lagi. Ini di hadapan rumahnya di Kg. Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kelantan. Saya (kanan) bertemu beliau untuk mencungkil rahsia ajaib kecemerlangan itu. Anda lihat kemudahan prasarana yang paling minimum pun mampu menghasilkan keputusan peperiksaan paling cemerlang di Malaysia!

Ingat:

Anak anda di asrama sangat sedih saat ibu bapa kawan-kawan mereka datang menziarahi anak-anak mereka pada hujung minggu sambil bersantai di bawah pokok sama-sama makan tengahari ala berkelah sedangkan ibu bapanya sendiri tidak nampak batang hidung. Mungkin anda ada hambatan masalah masa, kewangan dan kesempatan, tapi berkorbanlah demi untuk anak tersayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan