Sabtu, 15 Ogos 2009

ASRI RABBANI DALAM KENANGAN

Pagi itu Khamis 13 Ogos 2009. Saya di Telaga Biru menyiapkan majalah Solusi No.11 yang mesti dihantar printing Sabtu. Tepat 11.00 pagi saya terima SMS:

ASRI IBRAHIM RABBANI MENINGGAL DUNIA. BELIAU REBAH WAKTU REHEARSAL DI RTM. SEKARANG DI HOSPITAL PANTAI, KL.

"INNALILLAH HIWAINNA ILAIHIROJIUN" Saya terus maklumkan kepada seluruh warga Telaga Biru. Semua terperanjat dan mula melayari Internet mencari maklumat. Saya terus memanjangkan SMS kepada beberapa sahabat penting mengikut senarai dalam h/p saya. Ramai yang respond.

Sheikh Hussein call,"Ana terus ke Hospital Pantai," katanya.

Saya meminta Sani, PR Telaga Biru cari maklumat di mana jenazah akan dimandi dan disolatkan. "Mandi di Hospital Pantai, kemudian dibawa ke rumah ibunya di Kg. Bukit Lancong, Seksyen 27, Shah Alam. Kebumi lepas Asar." Kata Sani dalam 30 minit.

Kemudian h/p saya memberi signal menandakan SMS masuk dari beberapa orang sahabat; ada yang kenal dan ada yang tak ada dalam senarai nama h/p saya menyebarkan berita yang sama. Ramai yang memberi takziah. Yang lain bertanya di mana dikebumikan.

Yaser Akhir, seorang event manager di Kelang memberitahu, " Saya sepatutnya ada program dengan Ustaz Asri hujung minggu ini."

Aliyah Sijari, pegawai perhubungan korporat Galeri ilmu memberitahu, "Baru pukul 9.30 tadi saya bercakap dengan Asri."

Ziarah Jenazah

Kami menyusun agenda. 2 kereta dari Telaga Biru. Bos Haji Waharp Yusoff yang akan berlepas mengerjakan umrah Isnin ini, satu kereta. Saya bersama beliau. Ustaz Zahazan, ED satu kereta bersama Sani dan Asst. PR, Faruq. Kami berlepas 3.30 petang.

Kebetulan jalan jam teruk. 4.30 baru sampai. Kereta berjejeran tepi jalan utama depan rumah ibu Allahyarham Asri. Dari jauh lagi kami sudah bertemu dengan sahabat-sahabat lama. Ada yang 25 tahun tidak pernah bertemu. Semuanya sugul. Lelaki dan perempuan sama ramai. Sebahagian besarnya kami jangka peminat Asri. Media turut sibuk.

Foto: Pihak media sedang menemuduga Ustaz Amal di perkarangan rumah ibu Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim. "Ustaz Asri kawan saya dari kecil dan saya tak pernah jumpa orang yang lebih sabar dan kuat bertawakal selain beliau,"ujar Ustaz Amal.

Kami berselisih dengan Akil Hai, Ina Naim degan suaminya Suhaimi, Nazri Johani, Yasin Brothers, Ustaz Amal, semua anggota Raihan bersama pengurusnya Haji Mubin, Pyan dan Kimi Saujana, Wan Najran Rast, semua anggota In-team, UNIC dan Mestika, Dini Juri (yang turut memandikan jenazah) dengan isteri barunya, Farihin Fatah, Ustaz Sohibul Fadil Sabikin (bekas pengurus Rabbani & pengasas Nada Murni), Ustaz Abdullah Muhammad Hijrah, Ustaz Pahrol Md. Juoi, grup Fitrah Perkasa, Cikgu Abu Hasan Morad Galeri ILmu, Azmal Md. Nor Pusratu, Haji Abu Hasan Yusof (Konsortium Kabilah Ehsan), Haji Hasan Mokhtar Sg. Serai, grup Global Ikhwan, Mustafa Husin, Rafidi Md. Aris FCM, Bilal ROC, Suhardi Md. Isa Walet, dan ramai lagi. Ramai pengunjung yang kami tak kenal.

Di halaman rumah telah dipasang empat buah khemah putih. Pengunjung wanita berteduh dalam sebuah khemah. Kami terus masuk ke ruang tengah rumah bertemu dengan abang Allahyarham, Ustaz Ghazali Ibrahim.

Jenazah terbaring di tengah rumah. Sebahagian ruang menghala ke dapur dipenuhi oleh pengunjung wanita. Isteri dan ibu beliau yang uzur dengan enam orang anak beliau; 3 lelaki dan 3 perempuan duduk di samping jenazah. Semua sugul. Sebahagian besar menangis.


Foto: Dua keping foto ini saya abadikan menggunakan handphone saya. Saya berfikir, "Satu tidur yang panjang." Wajahnya setenang dan sedamai ketika beliau hidup. Dapatkah saya menemui Allah setenang beliau?

Wajahnya sejuk damai

Saya menghampiri jenazah. Wajahnya tiada perubahan, senyum, bersih, tenang dan damai sekali. Itulah yang dapat saya gambarkan. Saya mencium dahi beliau, sesuatu yang tidak pernah saya lakukan ketika hidupnya. Dulu ketika beliau hidup kami cuma berpeluk dan berlaga pipi. Paling tidak dia akan mencium tangan saya. Saya rasa di bibir, jasadnya sejuk dan mesra. Oleh kerana tetamu berpusu-pusu masuk, saya segera keluar memberi peluang kepada orang lain.

Sebentar kemudian solat jenazah didirikan. Kumpulan demi kumpulan mendirikan solat jenazah kerana ruang rumah yang sempit. Kerana pengunjung yang bertali arus, rancangan untuk mengebumikan selepas Asar ditangguhkan selepas Maghrib.

Pengunjung semakin ramai tiba. Media menemuduga artis. Air minuman diedarkan. Ramai tetamu yang berbual antara satu sama lain kerana lama tidak berjumpa.

Di bawah khemah dengan linangan air mata Ustaz Sohibul berkata,"Ana jangka ana akan mati dulu, rupanya Asri yang perlu dulu."

Beliau mengimbau dua bulan lepas beliau dimasukkan ke ICU Hospital Sungai Buluh kerana serangan darah tinggi. Ramai kawan-kawan yang menjangka beliau akan meninggalkan kami tetapi sekarang beliau sudah sihat.

ASRI DALAM KENANGAN

ASRI RABBANI bukan orang baru bagi saya. Saya mengenali beliau ketika beliau berusia 10 tahun pada tahun 1979, 30 tahun dahulu (lihat blog saya terdahulu). Ketika itu beliau merupakan penyanyi solo pertama (penyanyi solo kedua ialah Munif Hijjaz) Kumpulan Nasyid Putera al-Arqam (sebelum dinamakan Nada Murni pimpinan Ustaz Sohibul.) Saya sering menguruskan persembahan nasyid serata Malaysia, malah akhirnya konsert serata dunia bersama kumpulan Nada Murni.

Saya juga sering memimpin dan memberi kursus motivasi, usrah, kursus perguruan kepada Asri dan kawan-kawannya di institusi tempat beliau belajar. Saya melihat graf dan bintang beliau naik selama 30 tahun hingga menjadi artis tersohor dalam dunia nasyid.

Akhir-akhir ini sering juga saya duduk sepentas dengan beliau (lihat blog saya terdahulu) di samping beliau turut menyumbang tenaga dalam Konsortium Kabilah Ehsan yang saya sertai selaku Setiausaha Penubuhan.

Siapakah Asri yang saya kenali?

Seorang yang warak, berilmu pengetahuan agama, bermotivasi tinggi, berketrampilan, merendah diri, tawaduk, mengenang jasa, berwibawa memimpin, bekerja keras, penyayang dan penyabar.

Betapa tidak, di atas pentas dia boleh mengumumkan nama saya dan memberi penghargaan jika terlihat saya bersama anak-anak (semua anak-anak saya suka Rabbani) duduk di dalam dewan tempat beliau membuat persembahan.

Asri pergi meninggalkan kita buat selamanya. Pencapaian yang diraih dalam dunia muzik yang disenaraikan oleh akhbar semalam melayakkan beliau dianugerahkan sesuatu yang bermakna oleh dunia muzik!

Saya memberitahu Haji Waharp Yusoff, bos Telaga Biru, "Kalau orang tak bagi, kita yang bagi."

3 ulasan:

  1. assalamualaikum tumpang tanya ustad kenal tak ustad syed mohd sopian?

    BalasPadam
  2. assalamualaikum tumpang tanya ustad kenal tak ustad syed mohd sopian?

    BalasPadam
  3. Saya kenal beliau, seorang yang berilmu, baik hati, lemah lembut dan warak. Tapi dah tak jumpa kira-kira 20 tahun. Moga dia seperti dulu.

    BalasPadam