Selasa, 23 Jun 2009

ANDA JUGA BOLEH CEMERLANG!

Anda sering mengeluh yang anda kurang cemerlang. Kenapa orang lain boleh menempa kejayaan dengan jayanya? Satu persatu nama ditempa. Satu demi satu hadiah dan anugerah digondol. Langkah demi langkah jawatan didaki. Rezeki orang datang mencurah-curah. Keluarga mereka nampak bahagia dan harmoni.

Kenapa anda masih diri anda yang lama? Kenapa anda tidak keluar dari kepompong diri anda yang lembab dan menjadi orang biasa-biasa sahaja? Kenapa kadang-kadang anda menyesali hidup anda? Sedangkan usia anda masih muda. Tenaga anda masih kuat. Anda masih banyak masa.



Foto Atas: Bersama Ustaz Asri Ibrahim Rabbani di Dewan al-Malik Faizal, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Petaling Jaya dalam Forum "RITMA DAN CINTA - HIBURAN REMAJA?" anjuran GRUP IMPRESI SENI CFS IIUM. Saya melihat kejayaan Ustaz Asri setapak demi setapak dalam bidang seni daripada tahun 1978 ketika beliau berusia sepuluh tahun.


Foto Atas Kiri: Bersama Tuan Haji Ramli Mokni (Ramli Burger) di majlis perkahwinan anaknya Siti Hazura (anak didik saya) di Taman Batu Muda, Gombak. Majlis ini dilangsungkan di kilang burgernya - lambang kejayaan peniaga anak bangsa ini. Saya mengenali beliau sejak tahun 80-an ketika beliau mula berniaga dan hari ini pencapaian beliau amat membanggakan.












10 Sebab Mengapa Anda Tidak Cemerlang

1. Anda belum berbuat pada tahap optimum.

2. Anda tidak fokus. Aktiviti anda merentasi pelbagai skop dan bidang tapi tidak ada satu pun yang cemerlang.

3. Anda tak mahu minta bantuan orang lain. Anda terlalu malu untuk itu. Anda hanya bergantung kepada kudrat anda sendiri.

4. Anda kalah dengan nafsu anda sendiri. Ingatlah bahwa nafsu itu sentiasa mengajak manusia kepada kejahatan dan nilai negatif.

5. Anda tidak mengilap bakat anda dalam berkomunikasi. Akibatnya anda lemah dalam berkomunikasi. Sedangkan dunia sekarang ialah dunia komunikasi.

6. Anda tidak rajin bermonolog dengan minda anda sendiri. Anda tidak berusaha untuk bermuhasabah diri sebelum tidur malam.

7. Anda terlalu merendah diri. Anda merasakan orang lain besar-besar dan kaya-kaya belaka. Anda sering merasakan diri anda "born loser" - dilahirkan untuk kalah.

8. Anda kurang pergantungan dengan Allah SWT. Anda terlalu bergantung dengan usaha anda sendiri. Anda terlau bergantung kepada duit dalam poket anda.

9. Anda tidak mengasak otak anda ke tahap optimum untuk menghasilkan idea dan strategi baru.

10. Anda banyak rehat, bermalas-malas, merengankan fikiran dan tidur.


Foto Kanan: Bersama Encik Ghafar Barrat, Tok Empat Kampung Serengkam, Maran, Pahang di ladang semaian nangka madu MASTURAnya. Saya kagum dengan pencapaian beliau kerana ketika anak-anak muda berhijrah ke bandar atau melepak di pot-pot tertentu menagih dadah, orang tua berusia 60-an ini mampu menghasilkan ladang yang luas. Bukan itu sahaja beliau turut memiliki kilang memproses jus, halwa dan jem nangka.





Bagaimana Bangkit Dari Kelembapan?

1. Lihat orang yang telah berjaya. Bukankah mereka dulu juga seperti anda? Bagaimana dia lebih dahulu menerobos sempadan diri?

2. Baca sejarah pemimpin dunia yang berjaya.

3. Minda anda sebenarnya mampu melakukan lebih daripada apa yang anda capai sekarang.

4. Bangun awal pagi sebelum Subuh. Ingat! Anda telah menyiapkan banyak kerja tatkala orang lain baru mahu bangun tidur. Keluar rumah awal walaupun pada hari cuti.

5. Jangan makan malam berlebihan. Kalau anda sudah minum petang, tak perlu lagi makan malam. Makan makanan yang berzat sahaja. Ingat, perut ialah sumber penyakit.

6. Selalu berjemaah dalam setiap aktiviti. Jangan menyendiri seorang diri dalam bilik yang beku. Jadilah orang yang mobile. Berkawanlah dengan orang yang mobile.

7. Jangan mengalah dengan sekali kekalahan. Cuba dan cuba lagi. Orang yang gagal ialah orang yang berhenti mencuba.

8. Latih anggota panca indera anda untuk mematuhi arahan minda anda yang menyuruhnya supaya bekerja kuat. Selamat tinggal lemak-lemak di badan. Mula bina otot-otot yang pejal dari sekarang. JANGAN LAGI ANDA MASIH MENGANTUK WAKTU KULIAH ATAU WAKTU DI PEJABAT.

9. Anda masih muda walaupun sudah berusia 50 tahun. Bagaimana kalau Allah anugerahkan usia 80 tahun kepada anda. Maknanya anda baru menghabiskan 60% daripada usia anda. Anda ada lagi 40% untuk dilalui. Bukankah itu satu peluang yang banyak? Tambahan lagi jika anda baru berusia awal 20-an!

10. Sekarang anda sudah berusia dewasa. Maknanya minda anda sudah mampu untuk menggarap apa sahaja ilmu dan kemahiran yang anda mutalaah. Ya dulu anda mungkin lemah waktu di sekolah menengah. Sekarang tidak lagi!

Paradigma hidup anda harus anda tukar hari ini juga. KERJA LEBIH SIKIT. BURN THE NIGHT'S CANDLE. Kalau tak pecah ruyung manakan dapat sagunya. Belakang parang diasah lagikan tajam.

Allah telah menjumlahkan kekayaan di muka bumi ini dibahagi dengan bilangan orang yang hidup mencari rezeki di atasnya. Mengapa kita mendapat kurang dari hetong panjang habuan kita sebenar? Oh amat lemahlah kita.

Berbekalkan bukti yang ada di depan mata, saya yakin dan percaya, ANDA JUGA BOLEH JADI CEMERLANG!

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum Tuan,

    Semua artikel Tuan menarik minat saya untuk terus membaca sehingga sukar untuk saya berhenti.Kebanyakan memang relevan untuk saya gunapakai kerana masalah yang sedang saya hadapi adalah bagaimana untuk menjadi lebih cemerlang.Salah satu kelemahan yang sedang saya hadapi adalah pengurusan diri.InsyaALLAH saya akan terus mengikuti blog Tuan kerana artikel2nya yang sungguh menarik.Terima Kasih atas perkongsian pengalaman dan ilmu.

    BalasPadam