Selasa, 23 Februari 2010

TADABBUR ALAM DI GUNUNG



Foto: Permulaan mendaki 10.00 pagi. Ada curam yang 90 darjah.

21 Februari 2010 (Ahad) saya ditugaskan mengetuai sekumpulan remaja dari Persatuan Belia Sri al-Ain (BERRSAMA) memanjat Gunung Datuk dalam daerah Rembau di Negeri Sembilan. Wah memanjat gunung? Sesuatu yang telah saya tinggalkan selama 29 tahun.

Paling akhir saya memanjat Adam's Peak (Puncak Adam) yang tingginya 2,243 meter dari paras laut di Sri Lanka pada tahun 1981 ketika berusia 26 tahun. Saya lakarkan pengalaman ini dalam kolum KEMBARA majalah SOLUSI no. 10. Di atas Puncak Adam saya menyaksikan apa yang dikatakan bekas tapak kaki Nabi Adam a.s. sepanjang 5 kaki 7 inci dan lebarnya 2 kaki 6 inci.


Foto: Di puncak pertengahan gunung Datuk.

Pemandangan di Puncak Adam amat menakjubkan. Waktu matahari terbit bayang-bayang kita akan terpapar di permukaan gunung sebelah seperti sebuah layar gergasi. Dikatakan sebab itu Allah menurunkan Nabi Adam A.S. dari syurga ke puncak ini supaya baginda tidak terkejut dengan perubahan mendadak daripada keindahan alam syurga.

Baginda terpacak sebelah kaki selama 1,000 tahun di puncak itu meninggalkan bekas tapak kaki. Yang peliknya orang Kristian menuntut itu tapak kaki St. Thomas. Orang Hindu kata itu tapak kaki Sivan Adi Padham, tuhan Shiva mereka. Orang Buddha kata itu tapak kaki Buddha. Kaum peribumi Veddas kata itu tapak kaki tuhan mereka Samanala Kanda. Pening?

Di atas Gunung Datuk juga ada bekas tapak kaki, tapi dikatakan bekas tapak kaki kanan Hang Tuah. Saiznya seperti tapak kaki orang biasa. Tapak kaki kirinya terletak di Tanjung Tuan, Port Dickson, lebih 40 kilometer jauh. Bagaimana jadi begitu saya pun tak tahu, kecuali Hang Tuah itu wali Allah. Mungkin cuma satu mitos!

Waktu bersekolah di Sek. Men Datok Abdullah, Astana Raja, dari Remove Class (Kelas Peralihan - kelas anak Melayu sekolah rendah yang hendak belajar dalam aliran Inggeris di sekolah menengah) hingga Form Three, saya telah menjaki Gunung Datuk sebanyak lima kali. Saya kebetulan dalam kumpulan pengakap. Ada sekali saya mendaki bersama emak, yang ketika itu berusia 30-an.

Ketika belajar di Australia saya sering mendaki Gunung di belakang bandar Hobart di Tasmania dan di Canberra untuk bermain salji. Gunung-gunung ini kurang mencabar kerana kereta boleh sampai ke atasnya. Waktu menyempurnakan praktikal di sebuah lombong tembaga di Queenstown, Barat Tasmania, saya sering juga mendaki gunung botak di banjaran lombong itu.

Hari ini saya mengulangi pendakian 40 tahun dahulu. Apakah anda tidak rasa tercabar?

Apakah faedah mendaki gunung?
  • Melihat kebesaran Allah SWT.
  • Untuk kesihatan fizikal tubuh badan.
  • Untuk latihan ketahanan paru-paru, kelancaran perjalanan darah, sistem saraf, pembinaan otot-otot, tulang dan sendi.
  • Menguji daya tahan yang tinggi.
  • Membuktikan daya juang.
  • Menguji keberanian.
  • Meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.
  • Mempraktikkan konsep kerjasama dalam kumpulan.
  • Melatih diri supaya peka kepada kebersihan dan menjaga alam sekitar.
  • Menyuburkan sifat peri kemanusiaan.
  • Latihan survival.
  • Mewujudkan disiplin diri.

Untuk merealisasikan manfaat ini anda perlu melaksanakan beberapa aktiviti antaranya:
  • Persiapkan diri lahir dan batin sebelum memutuskan untuk menyertai pendakian.
  • Bersenam ringan sebelum memulakan pendakian.
  • Makan pagi dengan sebaiknya untuk membekalkan tenaga yang mencukupi.
  • Bawa kamera yang baik untuk mengabadikan gambar.
  • Solat berjemaah Zohor dan Asar jamak takdim (jika perjalanan melebihi dua marhalah) di puncak gunung.
  • Bawa barang keperluan sendiri, jangan membebankan orang lain.
  • Bawa makanan dan perubatan seperti minyak angin, bam, minyak kuda dan minyak panas.
  • Bawa air untuk berwuduk.
  • Kongsi makanan bersama sahabat yang tiada makanan.
  • Bergerak dalam kumpulan.
  • Taat kepada arahan ketua kumpulan.
  • Tepat menjaga masa dan menggunakan masa dengan sebaiknya.
Antara adab-adab dalam pendakian ialah:
  • Jangan bercakap lepas, sombong, takabur dan bercakap besar.
  • Jangan buang air kecil atau besar di pangkal pokok atau di tempat air bertakung.
  • Jangan bergurau berlebihan.
  • Jangan melakukan maksiat.
  • Jangan berpisah daripada kumpulan.
  • Jangan berada dan bergurau di tebing yang curam.
  • Kutip sampah dan bawa turun.
  • Jangan membawa barangan daripada dalam hutan sebarangan seperti batu batan, flora dan fauna.
  • Jangan mementingkan diri sendiri.
  • Tunggu ahli yang terakhir ketika naik dan turun.
  • Bawa bersama ahli yang tercedera, sakit atau pengsan.

Foto: Solat berjemaah qasar dan jamak takdim di puncak bawah Gunung Datuk. Turut serta seorang Muslimah.


Akhirnya perjalanan dua jam itu, saya tamatkan dalam masa dua jam setengah. Saya yang terakhir sampai dalam kumpulan saya seramai lapan orang termasuk seorang Muslimah. Pendakian ini memang menguji daya tahan dan motivasi diri saya sendiri. Nikmatnya ialah apabila sampai ke puncak, menghayati pemandangan persekitaran yang indah, menikmati makan tengahari dan dapat solat berjemaah.

Hujung Mac kami akan mendaki Gunung Buah di Genting Highland yang dikatakan lebih sejuk dan dapat menghayati pokok-pokok bonsai. Anda yang ingin untuk turut serta sila hubungi urus setia KELAB TADABBUR ALAM GUNUNG Tel: 013-3596574.


Foto: Di puncak tertinggi Gunung Datuk bersama Nizam, seorang sukarelawan & penerbit (tengah) dan Faizal, pendaki profesional yang telah sampai ke

Gunung Everest.

4 ulasan:

  1. Subhanallah...,nice post bro....., salam kenal dan salam ukhuwah assalamu'alaikum

    BalasPadam
  2. nice blog bro.....subhanallah..... tetap shalat walau di alam terbuka...

    BalasPadam
  3. Salam pengenalan Bro. Farhatkhan. Terima kasih. Keep in touch.

    BalasPadam
  4. Subhanallah,tetap jalankan aktiviti yang amatberguna ini kerana manusia dan alam tidak dpt dipisah kan.

    BalasPadam