Selasa, 15 September 2009

KEMBARA MUSAFIR RAMADAN DAN SYAWAL

Ramadan tahun ini saya keluar negara bermusafir sebanyak dua kali:

28-30 Ogos (7-9 Ramadan):

Saya ke Aceh menziarahi anak-anak saya di Rumah Anak Yatim Darul Tahfiz Sri al-Ain seramai 15 orang. Dalam satu dua hari ini saya masih lagi terhutang untuk menghantar kepada mereka peruntukan untuk membeli pakaian raya kerana inilah satu-satunya masa yang mereka akan pulang ke kampung halaman masing-masing bertemu dengan saudara mara yang masih ada sedangkan ibu bapa mereka telah lima tahun menghilang dimakan tsunami. Saudara saudari yang ingin menyumbang untuk anak-anak yatim ini bolehlah menyalurkan melalui saya.

Di samping itu saya dapat merasa berpuasa dan solat sunat Terawih di Aceh sambil melihat pembangunan Aceh selepas pilihan raya yang mengorak langkah ke arah pentadbiran negeri Islam.

Dengarnya semalam sudah dibentangkan di Parlimen untuk dikuatkuasakan undang-undang syariat Islam di Aceh buat kesekian kalinya. Orang berzina yang belum berkahwin dan cukup saksi 4 orang akan disebat 100 rotan. Yang sudah berkahwin akan direjam hingga mati. Minum arak di khalayak ramai akan di sebat 80 rotan. Yang mencuri akan dipotong tangan.

Dua tahun lepas waktu Aceh baru berhenti peperangan antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan tentera Indonesia, hukum hudud ini sudah dilaksanakan. Selepas solat Jumaat jemaah akan berkumpul di perkarangan masjid di beberapa tempat termasuk di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh untuk melihat hukuman hudud dilaksanakan. Kemudian terhenti buat sementara waktu kerana ada pro dan kontranya. Ini nak dilaksanakan semula.

5-7 September (15-17 Ramadan):


Foto: Kesibukan pasar raya di Padang menjelang hari raya. Padang sebuah bandar bersejarah di tepi Lautan Hindi yang menghijau airnya. Padang juga masyhur dengan peninggalan lagenda si Tanggang yang disumpah ibunya menjadi batu. Pada hari raya ini di manakah ibu anda?


Saya bermusafir di wilayah Riau dan Minangkabau di Sumatera. Dari Pelabuhan Kelang saya menaiki feri ke Dumai. Dari Dumai menaiki kereta ke Pekan Baru. Bermalam di Pekan Baru. Keesokan harinya menaiki kereta ke Paya Kumbuh, Bukit Tinggi, Padang Panjang dan Padang. Dari Padang saya balik menaiki Air Asia ke Malaysia.

Saya menziarahi masjid-masjid dan pusat pengajian agama dan tahfiz di samping melihat kehidupan umat Islam yang serumpun dan sebangsa dengan kita. Malah dari bumi sebelah sinilah berkembangnya tamadun Melayu Adat Pepatih di Negeri Sembilan. Banyak nama-nama bandar, kampung dan daerah di sini yang sama dengan nama-nama di Malaysia khususnya di Negeri Sembilan, Perak dan Johor.


Foto: Ini makam Sultan Siak ke-IV dan kerabatnya di perkarangan Masjid Raya Pekan Baru yang saya ziarahi. Apabila berpindah pemerintahan ke Pekan Baru dan membina istana baru, bangunan yang paling diutamakan baginda ialah masjid.

Di samping itu saya sedang mencari bahan untuk buku terbaru saya. Kembara perjalanan ini ada saya ceritakan dalam ruangan tetap saya KEMBARA dalam majalah bulanan Solusi Bil. no. 12 terbitan Telaga Biru yang akan menemui pembaca pada 1 Oktober nanti.

Pada 3 hari raya ini saya akan keluar negara lagi:

22-26 September (3 -7 Syawal):

Kali ini saya mengetuai Misi Kemanusiaan seramai 5 orang ke Jakarta dan Tasik Malaya di Jawa Barat. Kami akan membawa sumbangan orang ramai berupa pakaian, ubat-ubatan dan kewangan untuk mangsa kebakaran Kampung Penduduk Miskin Kampung Pisangan, Ciputat, Jakarta yang berlaku awal Ramadan baru-baru ini.

Kampung ini telah kami taja sejak tiga tahun yang lalu dan berjaya mendirikan sebuah madrasah. Dalam kebakaran baru-baru ini semua 150 buah rumah menjadi padang jarak padang tekukur kecuali bangunan madrasah Sri al-Ain yang kami dirikan.

Sasaran kedua kami ialah menziarahi mangsa gempa bumi di Tasik Malaya dan Bandung di Jawa Barat yang mengorbankan ratusan orang serta menenggelamkan beberapa buah kampung baru-baru ini.

Foto: Ini bangunan terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Padang yang bernama BANDARA (BANDAR UDARA) INTERNASIONAL MINANGKABAU.

Saudara / saudari yang turut ingin menyumbang untuk membantu mangsa kedua-dua bencana di atas sila masukkan sumbangan ke dalam akaun berikut:

CIMB No: 14160067926528 HAJI MUHAMMAD ZAKARIA
AGRO BANK No: 2-00-5561-00001319 PERSATUAN BELIA SRI AL-AIN (BERSAMA)


dan maklumkan melalaui SMS ke: 016-4028344.

Pada saat anda bergembira merayakan hari raya Aidilfitri tahun ini ingat-ingatlah orang yang kurang bernasib baik. Moga seandainya kita ditimpa kesusahan bila-bila masa suatu hari nanti, ada hamba Allah yang prihatin untuk membantu kita dengan gerak hati daripada Allah S.W.T. jua.

2 ulasan:

  1. salam ustaz..saya sharfizah, sularelawan UIAM yg beberapa kali ke aceh,membantu anak2 tsunami yang trauma. kali terakhir ke aceh adalah pada awal tahun 2008. sy dan rakan2 masih berhubung dgn anak2 pesantren di sana. namun masa sy yg agak terbatas(sy bertugas sebagai pendidik di melaka)agk menyukarkan sy utk ke aceh lg. namun sy sgt bersyukur ada insan sperti ustaz yg sanggup berkorban harta, masa dan tenaga utk ank2 yatim.smga usaha ustaz diberkati Allah. sy teringin utk menziarah rumah a. yatim al-ain aceh, i'allah. smg ada rezeki hendak'a..

    BalasPadam
  2. Sdri Sharfizah,
    Saya akan ke Aceh pertengahaan Dis 2009. Hujung Feb 2010 saya akan ke Kemboja mengendalikan JIHAD PENDIDIKAN ASIA (JPA) selama 3 hari.

    JPA ini ialah entiti baru kami untuk memberi kesedaran pendidkan, ketamadunan, kemajuan dan keagamaan terhadap umat Islam yang miskin, mundur dan ditimpa bencana di seantero benua Asia.

    Dalam masa terdekat juga kami merancang untuk menziarahi kaum Rohingnya di Myanmar dengan menaiki kereta api ke Bangkok dan penerbangan ke Yangoon.

    Kalau ada kesempatan nak join sila beritahu ya.

    BalasPadam