Khamis, 21 Ogos 2014

WANG TIADA HARGA

WANG TIADA HARGA

Aku menaiki pesawat tambang murah, Jetstar dari Auckland ke Singapura, perjalanan 9 jam ketika pulang daripada menziarahi adik bongsuku Dr. Norlaili yang telah berhijrah ke New Zealand mengikut suaminya, seorang warga New Zealand. 

Di samping isteri dan anak menantu, emak bersama kami, maklumlah rindu kepada anak bongsunya yang telah dua tahun tidak pulang ke tanah air. 

Kami berangkat daripada rumah Dr. Norlaili jam 4.00 pagi kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland jauh dari rumahnya. Jadi kami tidak sempat sarapan pagi. 

Di dalam pesawat, sebaik duduk kami pun memesan makanan memandangkan pesawat tambang murah ini tidak menyediakan makanan untuk semua penumpang. Nasi ayam yang sangat menyelerakan. Aku tabek kerana Jetstar menyediakan makanan halal dalam pesawat. Kami juga memesan minuman panas. 

Ketika hendak membayar pesanan aku mengeluarkan dollar New Zealand.

“We only accept cards,” kata pramugari sambil tersenyum.

“But this is New Zealand dollar. I also have Australian dollar, Singapore dollar and US dollar if you like,” aku berkeras.

“Sorry, we only accept cards,” ulang pramugari itu.

“Sorry I don’t have any cards,” aku mengalah dan tidak mahu memanjangkan hujah. “I have to cancel my order,” sambungku sambil memulangkan makanan panas yang belum kujamah dan bekas minuman.

“Well you can keep the drinks,” kata pramugari itu.


Emak terpinga-pinga. "Nampaknya minum air panas sahaja rezeki kita hari ni," kataku.

Dalam pesawat kami lalui 9 jam yang panjang. Kebanyakan masa emak tidur. Mungkin menahan lapar.

Sebaik sampai di Changi International Airport hari hampir Maghrib. Aku terkecuh-kecuh mencari surau untuk solat Zohor dan Asar Jamak Ta'khir. 

"Kita makan dulu," kata Mak.

Nasib baik dalam perjalanan ke surau jumpa gerai. Wah! Nasi lemak panas Singapura, halal. Kami pun makan dengan berselera sekali. Lepas makan, kami cuma ada masa beberapa minit untuk solat sebelum masuk waktu Maghrib.

Fuh! Ada ketikanya wang tidak ada makna dalam hidup kita. Wang tidak bernilai walau untuk membeli sepinggan nasi. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan