Ahad, 24 Ogos 2014

10 KALI LEBIH BAIK


Pagi tadi, pagi minggu, kami sekeluarga duduk di ruang tamu menikmati sarapan nasi lemak yang dimasak isteri. TV menyiarkan upacara langsung sambutan jenazah kedua MH17 yang sedang berlangsung di KLIA.


Tiba-tiba Awang berkata,"Acara yang dijalankan di Amsterdam 10 kali lebih teratur dan cemerlang. Sampaikan anggota tentera yang memikul keranda semuanya sama tinggi!"

Bang Cik menyampuk, "Dulu kita menonton persembahan perbarisan pasukan polis Singapura di Stadium Merdeka Kuala Lumpur sempena persembahan Pentomine Polis pun 10 kali lebih pantas dan cergas daripada PDRM. Lambungan senjatanya lebih tinggi dan ditangkap dengan cekap dan seragam."

"Dulu waktu kita makan di Restoran Pelita di Pulau Pinang, semua pekerjanya seragam. Sampaikan gunting rambut dan stail bersikat pun sama," Abot menyampuk. "Patutlah Restoran Pelita merupakan restoran pertama masuk Bursa Saham Kuala Lumpur."

Saya terpaksa menyampuk, "Memang keseragaman dianjurkan dalam Islam. Latihan pertama ialah keseragaman ketika solat berjemaah. Seragam ketika takbirratulihram. Ketika imam habis menyebut perkataan "...bar," baru semua makmum serentak mengangkat takbir."

"Begitu juga ketika takbir "intiqoli" - takbir pertukaran antara rukun, mesti serentak. Perbarisan saf juga lurus dan rapat-rapat, tumit bertemu tumit. Imam sunat mengingatkannya sebelum solat. Nampaknya Islam juga mengajar keseragaman, serentak, kelurusan dan kecekapan."


Tiada ulasan:

Catat Ulasan