Selasa, 14 Julai 2009

DUNIA, KAMPUNG DAN H1N1

Perhimpunan Taraf Dunia

Sewaktu Ijtimak Sedunia diadakan di Quarters KLIA, Nilai (9-12 Julai), dua kali kami pergi. Di sinilah kami menyaksikan lautan manusia dari seluruh dunia berhimpun dan berkumpul untuk satu tujuan - memuji kebesaran Allah SWT.


Foto: Suasana di Perhimpunan Ijtimak Sedunia di Quarters KLIA 9-12 Julai 2009.


Surat khabar harian melaporkan 200,000 orang hadir. Saya jangka mungkin mencecah setengah juta orang. Dan di sini jugalah kita dapat menyaksikan semua orang meninggalkan semua aktiviti apabila azan berkumandang di udara.

Oleh kerana tempat terhad manusia akan solat di mana sahaja - dan berjemaah. Khemah putih didirikan persis padang Arafah. Dan manusia dari pelbagai bangsa, golongan, darjat dan status berpakaian sebentuk - pakaian yang melambangkan ciri-ciri ke-Islaman.

Kalau seorang anak dari ceruk kampung mana melihat senario ini pasti dia akan berkata,"Oh ada pemandangan yang sebegini rupa di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur." Ini mungkin kerana mereka belum terdedah dengan dunia luar yang luas dan mencabar.

Anak Kampung

Dari Nilai, saya bergegas ke Kuantan pada 11 Julai untuk memberi latihan motivasi kepada lebih 120 orang anak-anak Kampung Sungai Isap 2 di Dewan Orang Ramai kampung tersebut. Di sini suasana paling berbeza.

Sekarang saya berhadapan pula dengan anak-anak kampung yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sebahagiannya mungkin belum pernah pun menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur. Tapi mereka cemerlang. Ada yang bercita-cita untuk menjadi doktor walau pun ibu bapa mereka hanya beberapa kerat yang pernah menjejakkan kaki ke IPT.

Tahniah kepada YB Dato' Syafiq Fauzan, Eksko Kerajaan Negeri Pahang yang turun ke padang yang turut berceramah motivasi selama 40 minit walaupun beliau pada asalnya dijemput merasmikan penutup program tersebut.

Foto: Program Motivasi di Dewan Serbaguna Kg. Sungai Isap 2, Kuantan. Kiri sekali ialah YB Dato' Syafiq Fauzan, Eksko Kerajaan Negeri Pahang.

Bagi saya inilah contoh pemimpin yang prihatin dan berjiwa rakyat. Beliau turut membahasakan dirinya "Pak Cik". Beliau berpesan kepada para peserta, "Kirim salam Pak Cik Syafiq Fauzan kepada ibu bapa kamu yang tak hadir dalam majlis ini."

Dalam masa yang singkat saya dapat mencungkil beberapa orang anak-anak kampung yang berbakat tinggi ketika menanda tangani buku-buku saya yang mereka beli selepas program. Adik yang saya suruh berucap dalam majlis penutup tu - anda mempunyai potensi yang sangat besar untuk menjadi pemidato terkenal tanah air. Semua orang, tua dan muda ingin maju - anda jangan terkecuali.


Foto: Peserta Program Motivasi tersebut.


Tamat program jam 2 petang (berhenti 4 minit menghormati azan dari masjid bersebelahan), saya yang merupakan satu-satunya penceramah jemputan bermula jam 8.30 pagi sungguh meletihkan.

Tambahan paginya saya bertolak dari Kuala Lumpur jam 4 pagi kerana ada agenda di sebelah malam sebelumnya.


H1N1


Selepas minum petang ikan goreng di Tanjung Lumpur, saya meninggalkan Kuantan jam 4 petang kerana ada agenda seterusnya di Kuala Lumpur. Malangnya sampai di Kuala Lumpur saya diserang demam panas yang mula terasa sejak pagi.

Dalam perjalanan doktor dari Hospital Sungai Buluh menalipun memberitahu bahawa Ummu Solehah yang kebetulan berada di rumah kerana pulang dari Jakarta untuk menyiapkan kerja projeknya disahkan positif H1N1 (doktor sedang trace, mungkin beliau dapat dari dalam pesawat). Wah, demam saya mungkin berjangkit dari dia.

Entah macam mana hati kecil saya menyatakan bahawa saya tidak akan dijangkiti H1N1. Betul! Sebaliknya isteri yang diserang teruk. Begitu juga anak kami yang belajar di Kuantan, Muhammad Ammar Yassar (yang kami jumpa sekejap sahaja) di serang demam panas hingga mencecah 40 darjah F dan dimasukkan ke Hospital Ampuan Afzan. Kami di Kuala Lumpur semuanya berkuarantin dalam rumah kerana Hospital Sungai Buluh penuh.

Pengalaman baru: Tanda-tanda simptom H1N1 ada tujuh:

1. Demam yang tinggi.
2. Sakit kepala (sampai terasa macam ada lalat berjalan dalam otak).
3. Sakit-sakit seluruh badan.
4. Selsema.
5. Batuk.
6. Cirit birit.
7. Muntah.

Tapi Alhamdulillah, akhirnya semuanya, doktor kata tidak merbahaya. Cuma saya masih dilarang ke pejabat ditakuti membawa kuman H1N1 yang tidak mampu menyerang saya. Subhanallah. Setelah dua hari tidak keluar rumah baru saya tahu rupanya Kuala Lumpur diserang jerebu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan