Isnin, 19 Januari 2009

RUMAH ANAK YATIM DARUL TAHFIZ SRI AL-AIN ACEH

Pada 30 Okt hingga 2 Nov 2008 yang lepas saya ke Aceh mengunjungi Rumah Anak Yatim Darul Tahfiz Sri al-Ain yang saya asaskan 4 tahun dahulu. Sejak ditubuhkan ini kunjungan saya kali ke-12. Anak yatim tinggal 11 orang. Ada yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Madrasah Aliyah (tinggi) dan ditaja oleh pihak madrasah. Seorang terpaksa dikembalikan ke keluarga kerana tindakan disiplin. Yang tinggal nampaknya lebih berdisiplin.

4 orang petugas sepenuh masa menguruskan rumah anak yatim ini. Pelajaran anak-anak sudah meningkat. Bayangkan setiap seorang sudah memiliki sebuah laptop hasil sumbangan seorang tokoh korporat. Anak-anak saya sendiri pun tak semua punya laptop. Mereka makin gigih belajar. Saya sempat mengajar satu sesi bahasa Inggeris. Sampaikan Nyak, tukang masak turut belajar.

Kami juga dah beli 4 buah basikal untuk dikongsi 8 orang.

Bila saya duga, "Bila nak pergi Malaysia?"

Seorang menjawab,"Ustazah kata kalau dah hafal 5 juzuk baru boleh pergi Malaysia."

"Sekarang dah hafal berapa juzuk?"

"Dua"

Saya salut kepada al-Fadil al-Ustaz Abdullah Abd Wahab al-Hafiz yang mendidik mereka. Beliau berulang-alik dari Malaysia ke Aceh 2 minggu dalam sebulan semata-mata mendidik anak-anak ini. Beliau terpaksa meninggalkan isteri dan 2 orang anaknya di Malaysia. Itulah kehidupan beliau.

Pernah suatu hari beliau menaiki komuter dari Kajang ke KL Central. Di KL dia bertembung dengan seorang ibu dan dua orang anaknya meminta sedekah. "Hari ini kami belum makan lagi," kata ibu itu. Beliau lantas menyeluk poketnya yang menghulur ibu tersebut RM20. Cuma itu sahaja yang ada pada beliau!

Siapa Mutia?

Salut juga kepada Mutia, gadis berusia 22 tahun, anak Nyak, yang menjadi pengurus rumah anak yatim ini sejak ditubuhkan. Saya sangat terharu apabila suatu malam melihat dia mencuci kudis seorang anak yatim dan menyapu ubat. Anda tahu siapa Mutia dalam sejarah Aceh? Mutia ialah seorang perwirawati yang berjuang untuk kemerdekaan Aceh suatu ketika dulu. Itulah yang ada pada nama!

1 ulasan:

  1. Asskum wbt. Tuan Haji,

    pertama kali terjumpa blog ini. Saya berminat memberi sumbangan dari segi tenaga kerja dalam bidang pendidikan kepada anak-anak yatim di aceh khasnya yg ditaja oleh pihak Tuan Haji. Saya sudi mengajar matematik dan bahasa Inggeris kepada anak-anak ini. Harap tuan dapat beri peluang kepada saya. Terima Kasih.

    BalasPadam