Sabtu, 31 Oktober 2009

RAYUAN BERKORBAN DI VIETNAM DAN KEMBOJA

Foto: Ustaz Zainal Abidin (selendang hijau) sedang menyempurnakan ibadah korban sebanyak 8 ekor lembu bagi peserta korban yang kami bawa dari Malaysia di Maahad el-Muhajirin, Kampung Som, Kemboja pada tahun 1429H yang lepas.


27 November 2009 nanti (hari pertama raya Aidiladha) saya akan ke Vietnam mengetuai Misi Kemanusiaan dan Korban seramai 5 orang. Kami akan menyembelih korban di beberapa buah masjid di perkampungan umat Islam yang miskin dan daif di sekitar Bandar Ho Chi Min. Korban ini menyempurnakan hajat yang dikirim oleh sahabat-sahabat dan beberapa tokoh korporat di Malaysia.

Kami akan berada selama tiga hari di Vietnam. Kami akan menziarahi pondok-pondok dan sekolah agama di merata tempat. Dari Bandar Ho Chi Min kami akan menaiki bas selama setengah hari ke Phnom Penh di Kemboja selepas melintasi sempadan. Di Phnom Penh kami akan menyembelih korban pada hari terakhir Tasyrik (13 Zulhijjah) sebelum pulang ke Malaysia pada 1 Disember.

Foto: Misi Kemanusiaan Korban kami pada tahun 1428H menyambut solat sunat Aidil Adha di Masjid Batu 9, tepi Sungai Mekong, Phnom Penh, Kemboja. Ini jamuan selepas solat di perkarangan masjid.


Saudara/i yang berkeinginan untuk melakukan ibadah korban di dua buah negara miskin di mana umat Islam meniti hari-hari keperitan menyambung kehidupan dan survival agama serta akidah itu bolehlah berhubung dengan saya sebelum saya bertolak.

Saya mengesyorkan juga kepada AJK masjid dan surau di Malaysia jika berhajat mengirim sebahagian korban ke Vietnam dan Kemboja memandangkan umat Islam di sana lebih memerlukan daging korban daripada kita di Malaysia.

Saya amat sedih mendapat berita ada masjid dan surau negara kita yang membuang daging korban yang telah busuk dengan mengorek lubang menggunakan jengkaut kerana tidak mampu diedarkan kepada ahli kariah lantaran korban yang terlalu banyak sehingga 50-60 ekor bagi sebuah kariah masjid.

Ditambah pula ada ahli kariah yang enggan menerima daging korban yang dihantar ke rumah mereka oleh petugas masjid kerana menganggap mereka tidak layak memakan daging korban.

Hari raya Aidiladha tahun lepas 1429H, saya menyembelih korban sebanyak 8 ekor di Madrasah el-Muhajirin, Kg. Som, Kemboja yang disempurnakan oleh al-Fadil Ustaz Zainal Abidin. Setiap ekor lembu korban diserahkan kepada kariah masjid berhampiran yang membawa pulang daging yang belum berlapah dengan kereta kuda untuk dibahagi kepada beberapa surau di bawah kariah mereka. Surau itu pula akan membahagikan daging korban kepada setiap rumah.

Dan akhirnya sebuah rumah hanya mendapat habuan sebanyak 300 gm. daging korban untuk dimakan seramai oleh 8 - 10 orang ahli keluarga masing-masing. Dan inilah satu-satunya hari yang mereka dapat makan daging dalam setahun! Memang lebih afdallah kita berkorban di Vietnam dan Kemboja daripada di tanah air kita sendiri.

Foto: Ini Misi Kemanusiaan Korban kami melaksanakan ibadah korban pada tahun 1425H di Aceh Darusalam, Indonesia selepas peristiwa tsunami.


Saudara saudari dan AJK masjid dan surau yang ingin melaksanakan ibadah korban tahun ini boleh menghubungi saya atau SMS nama kepada 016-4028344 dan masukan ke dalam akaun CIMB 14160067926528. Satu bahagian korban lembu berharga RM 300 dan satu orang akikah kambing RM 500.

Semoga ibadah korban kita diterima Allah s.w.t. dan menjadi saksi di akhirat nanti, Ameen.

Isnin, 26 Oktober 2009

APA ITU KECEMERLANGAN?





Foto: Si bongsu, Ummu Jannah (duduk 2 dari kanan) bersama teman-temannya di Sek. Agama Men. Hulu Langat, Batu 10 (SAMTEN). Saya yakin semua ibu bapa kepada anak-anak ini mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam semua aspek.

Khamis 29 Oktober 2009 10.00 pagi - 12.00 tengah hari saya akan menyertai FORUM PERDANA di Masjid Negera Kuala Lumpur bertajuk KECEMERLANGAN MENURUT PANDANGAN ISLAM.

Saya rasa semua orang mahu kecemerlangan. Ibu bapa mahu anak-anaknya cemerlang dalam pelajaran dan akhlak. Anak pula berbangga dengan ibu bapanya yang cemerlang dalam lingkungan rumah tangga dan kerjaya.





Foto: Saya membicarakan tentang "Kecemerlangan Melalui Amalan Bersedekah dan Memberi" dalam TV1 RTM pada 9 Oktober 2009,Jumaat 8.40 pagi. Petangnya saya berlepas ke Padang untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Sumatera Barat itu.



Jadi apa cemerlang yang sebenarnya?


Kecemerlangan ialah pencapaian tertinggi yang mampu diraih seseorang dalam satu-satu bidang. Tetapi ketinggian itu sangat relatif sifatnya. Ada orang yang berpuas hati dengan sedikit kecemerlangan. Lantas mereka mengeluh, "Ah apakan daya. Setakat itu sahaja yang saya mampu."


Ada orang yang berjuang bermati-matian untuk mencapai kecemerlangan yang terbaik. Mereka menggunakan segala kaedah dan resources (sumber) untuk berjaya. Mereka mengesampingkan segala kelemahan diri untuk dielakkan. Berpantang ajal sebelum maut.


Hero Dalam Filem Box Office


Anda tengok hero dalam filem box office berjuang hingga ke titisan darah yang akhir. Kadang-kadang nampak macam tidak ada harapan lagi untuk berjaya. Namun akhirnya hero itu berjaya juga. Itu dalam filem! Untuk mencapai kecemerlangan dalam kehidupan realiti, kita harus berjuang seperti hero dalam filem box office itu berjuang.


Minda atau otak yang menjadi anugerah paling berharga daripada Allah s.w.t. digunakan oleh sang hero untuk mencipta ikhtiar dan formula untuk berjaya. Mindanya bertindak seperti CPU sebuah komputer yang berkuasa tinggi memproses segala input yang didapati untuk mengeluarkan hasil bertindak dalam masa yang paling singkat.


Cuma bezanya, kita sebagai umat Islam berjuang di atas landasan kebenaran. Nilai murni menjadi titian perjuangan kita. Hukum syariat menjadi payung yang sentiasa mengadili kita. Selagi anda berada di bawah dua paksi ini, berusahalah untuk mencapai kecemerlangan yang maksimum.


Hari ini kita sering berhadapan dan terdengar keluhan seperti orang yang berputus asa. Apa sebenarnya yang menghalang anda daripada mencapai kecemerlangan?


1. Kekurangan bekalan ilmu. Atasi dengan belajar dan memerhati. Tambah kemahiran.
2. Kekurangan pengalaman. Pengalaman dilalui bukan datang percuma. Biarlah hari ini anda gagal namun kegagalan itu akan menjadi perngalaman untuk berjaya suatu hari nanti.
3. Kekurangan sokongan daripada orang yang hampir dengan anda. Ingat: Yang mengejar kecemerlangan ialah diri anda, bukan orang itu.
4. Kurang keyakinan diri. Yakin diri itu letaknya pada minda, bukan pada fizikal dan panca indera anda.
5. Kurang alat seperti fasarana dan wang ringgit. Ingat: Semua orang yang berjaya dengan cemerlang asalnya ialah orang biasa-biasa yang miskin dan tidak berharta. Anda juga akan mencipta kejayaan dengan jalan yang sama.


Dalam bidang apa yang anda ingin cemerlang?


1. Dalam bidang pelajaran anda ingin mencapai keputusan yang terbaik.
2. Dalam kerjaya anda ingin mendapatkan kerjaya yang terbaik. Anda dinaikkan pangkat dengan mudah. Perniagaan anda maju.
3. Dalam kehidupan, anda ingin bahagia dan ceria.
4. Anda ingin semua orang menyukai anda. Anda tidak ada musuh yang menyusahkan hidup anda.
5. Anda ingin mempunyai kesihatan yang excellent.
6. Anda mahu mempunyai keluarga yang bahagia, berjaya dan cemerlang.
7. Anda dapat beribadah dengan khusyuk. Anda dapat merasakan Allah s.w.t. sentiasa menjawab permintaan anda. Anda sendiri dapat merasakan Allah s.w.t. sentiasa memenuhi apa yang anda minta terhadap isteri dan anak-anak anda. Saya yakin anda boleh meminta yang lebih tinggi daripada apa yang anda capai sekarang.


Dan akhirnya bentangkan neraca timbangan anda antara kecemerlangan di dunia dengan kecemerlangan di akhirat. Dunia ini adalah jambatanj untuk menuju ke akhirat. Untuk cemerlang di akhirat anda harus cemerlang di dunia ini terlebih dahulu.




Foto: Sorang lagi anak bapak, Muhammad Thoriq. Dia ni Konsultan IT, tapi minat juga fotografi. Pernah anjurkan Kursus Fotografi di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS). Sedang menerangkan teknik indoor photography. Wah si bongsu pun minat juga.

Ahad, 4 Oktober 2009

SUMBANGAN GEMPA BUMI PADANG, SUMATERA BARAT

Foto: Rumah emak saudara Ustaz Yaser Arif, yang mengikuti misi saya ke Padang menyembah bumi di Pariaman. Rumah ibu beliau sendiri retak teruk dan tidak boleh didiami. Perkahwinan adiknya terpaksa ditunda kepada satu tarikh yang belum diketahui. Kami sedang mengumpul sumbangan untuk membaiki rumah ibunya.

Petang tadi saya menerima satu SMS daripada Ustaz Hashim Ahmad daripada Fitrah Perkasa. Katanya, "Ada cadangan nak ke Padang ke?"

Saya memberitahu Ustas Hashin yang saya akan mengetuai sukarelawan PERSATUAN BELIA SRI AL-AIN (BERSAMA) ke Padang, Sumatera Barat, Jumaat, 9 Oktober ini dalam MISI KEMANUSIAAN GEMPA BUMI PADANG, SUMATERA BARAT. Kami akan membawa sumbangan yang dikirim oleh orang ramai berupa pakaian, ubat-ubatan, makanan kering dan kewangan.




Foto: Sumbangan berupa tikar, karpet, makanan dan minuman dari Jakarta sedang dipunggah keluar daripada treler penghantar di Padang.


Kami bukanlah sebuah organisasi yang terlalu besar namun kami sering menjadi perantara untuk menyampaikan maklumat dan sumbangan hingga sampai ke sasaran kerana kami menyampaikan sumbangan dengan cara hadir sendiri.

Dalam pertengahan puasa lepas saya telah berkunjung ke Padang melalui jalan darat dari Dumai, Pekan Baru, Paya Kumbuh, Bukit Tinggi dan Padang Panjang. Perjalanan ini saya abadikan dalam kolum KEMBARA majalah SOLUSI Bil. 12.


Foto: Ustaz Yaser Arif bersama anak-anak buahnya di dalam khemah yang didirikan di hadapan rumah ibunya di Pariaman untuk menginap sementara. Gempa atau tidak kanak-kanak tetap ceria.

Namun kerana kesuntukan masa, saya tidak berkesempatan mengunjungi banyak tempat di Padang. Saya memberi tahu seorang teman, "Kita kena pergi ke Padang." 2 minggu selepas itu Padang dilanda gempa parah.

Ustaz Hashim bertanya lagi, "Nak lepak kat mana nanti?"

Selalunya kami tinggal di hotel. Kemudian kami akan menyewa kereta untuk pergi ke lokasi bencana. Kami sering bergabung tenaga dan mengatur strategi dengan NGO lain dari dalam dan luar negara yang banyak mempunyai kemudahan logistik. Kami juga pernah bergabung dengan TUDM, Bulan Sabit, Mercy, Yayasan Salam dan Aman Malaysia.

TUDM pernah membawa sukarelawan kami dari Aceh ke Meulaboh dengan helikopter NURI ketika tsunami tahun 2004. Aman Malaysia pula pernah memberi kami sebuah kereta pacuan 4 roda untuk kerja menyelamat di Aceh. Tentera Pakistan membekalkan kami air bersih yang disedut dari dalam tanah untuk dihantar ke desa-desa pedalaman.

Saudara / saudari yang ingin menyampaikan sumbangan untuk mangsa gempa bumi di Padang sila datang ke kaunter kutipan kami di:

1. Tingkat bawah Kompleks PKNS, Bandar Baru Bangi.
2. Surau An-Nur, Bandar Baru Bangi.
3. Ibu pejabat BERSAMA di No. 2, Seksyen 15, Jalan Reko, Kajang.


atau masukkan ke dalam akaun CIMB No: 14160067926528 dan maklumkam melalui SMS ke: 016-4028344.

ANUGERAH MEDIA ISLAM NEGARA - AMIN

Foto: Suasana dalam Planery Hall, PICC. Debaran menunggu pengumuman pemenang.

Hari Rabu ini 7 Oktober 2009, jam 8.30 malam saya dijemput menghadiri Malam Anugerah Media Islam Negara (AMIN) ketiga bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC). Sesuai dengan taraf negara, anugerah akan disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia.

Saya mempertaruhkan beberapa karya. Antaranya Anugerah Buku Islam Terbaik, saya mempertaruhkan buku saya KELUARKAN SINGA DARIPADA DIRI ANDA. Anugerah Rencana Islam Terbaik, saya mempertaruhkan rencana saya dalam kolum KEMBARA majalah SOLUSI bertajuk CABARAN UMAT ISLAM DI KEMBOJA. Anugerah Majalah Islam Terbaik, kami di Telaga Biru mempertaruhkan majalah SOLUSI.

Disamping itu teman-teman seperjuangan di Telaga Biru turut mempertaruhkan beberapa karya termasuk Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Zahazan Mohamed, Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, Dr. Basit Abd Rahman dan Dr. Zulkifly Mohamed.

Saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada buku dan rencana saya, namun saya yakin sebahagian daripada teman seperjuangan saya akan pulang dengan gondolan anugerah.

Saya juga hampir pasti majalah SOLUSI akan menggondol anugerah, insya-Allah. Inilah buah tangan kami, 2 tahun dalam perancangan dan bulan ini akan terbit keluaran ke-13. Pengeluarannya telah mencecah 32,000 naskhah, satu bilangan yang agak memberangsangkan bagi penerbitan sebuah majalah.



Foto: Bersama (dari kiri) Ir. Ahmad Jais, Pengarah Radio IKIM.fm, Ustaz Irwan Johari yang memenangi kategori Penyampai Rancangan Agama Radio Lelaki Terbaik dan saya yang tidak memenangi sebarang anugerah.


Syabas dan tahniah kerpada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mewujudkan anugerah AMIN ini. Kepada kawan-kawan, selamat berkarya.


Foto: Bersama si Bongsu, Ummu Jannah, yang telah menunjukkan kamahiran dan bakat yang tinggi dalam bidang penyuntingan. Moga jadi anak bapak...